Paling Popular
Terkini

Kerajaan akan meneruskan dasar afirmatif dalam ekonomi selain menambah baik dasar yang berkaitan keadilan sosial, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Bercakap ketika debat "Model Baru Ekonomi Malaysia" dengan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman malam tadi, Rafizi berkata soal tindakan afirmatif dan meritokrasi perlu dilihat berdasarkan konteks negara ini.

"Ya, kita akan meneruskan dan menambah baik dasar-dasar yang bersabit dengan memberi keadilan sosial mengikut kumpulan dan keperluan, sebab itu soal meritokrasi atau tidak ini perlu dilihat dalam konteks negara kita.

"Seorang pelajar dari Bachok, dia mungkin dapat 7A atau 8A, taklah secermerlang pelajar Melayu juga dari Damansara Utama yang setiap hari ada private tutor.

"Jadi soal affirmative action atau bantuan yang telah dijamin dalam perlembagaan kita ialah soal memastikan setiap anak-anak kita yang ada potensi mendapatkan keadilan sosial, keadilan ekonomi, untuk dibantu,” katanya.

Apa yang lebih utama, kata Rafizi adalah bagaimana kerajaan dapat membina lebih banyak infrastruktur, sekolah dan universiti.

"Kalau cukup universiti untuk beri ruang secukupnya kepada jumlah-jumlah anak-anak lepasan SPM yang semuanya cemerlang, maka tak timbul isu affirmative action atau meritokrasi.

"Ia jadi isu bila kedudukan kewangan negara semakin lemah sehingga menyebabkan kerajaan tak mampu menyediakan kemudahan dan peluang pada seberapa ramai yang mungkin. Maka sebab itu timbul isu kuota dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Syahir meminta Rafizi menyatakan sama ada kerajaan menerusi model baru ekonomi Malaysia akan mengekalkan dasar afirmatif atau beralih kepada sistem berasaskan meritokrasi sepenuhnya,

Debat yang dihoskan bersama oleh RTM dan Astro Awani itu menyaksikan Rafizi dan Syahir diberi masa masing-masing 12 minit untuk memulakan debat mereka, diikuti masa untuk menjawab dua soalan daripada moderator.

Selepas itu, Rafizi dan Syahir diberi dua slot selama 90 saat untuk bersoal jawab antara satu sama lain, dan empat minit untuk menjawab setiap soalan.

Dalam soalan lain, Syahir meminta Ahli Parlimen Pandan itu memilih antara konsep federalisme atau pemerksaan negeri.

Rafizi kemudian berkata persoalan untuk memilih antara dua konsep itu tidak timbul kerana kedua-duanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bersama dengan senarai tanggungjawab bersama persekutuan dan negeri.

"Masalah kita adalah sekiranya kerajaan persekutuan telah menjalankan tanggungjawab mengikut perlembagaan, tetapi kerajaan negeri tidak cekap mentadbir.

“Persoalannya kalau ada kerajaan negeri tidak mahir dan hanya asyik berpolitik... bukti macam air Kelantan yang sampai sekarang tak selesai.

"Tak timbul federalism atau state empowerment, dah selesai dari merdeka, mesti bergerak seiringan," katanya.

Terdahulu, Syahir ditanya oleh ahli parlimen Pandan itu mengapa Negeri Sembilan dan Melaka lebih maju daripada Kelantan walaupun pendapatan kedua-dua negeri itu lebih kecil berbanding negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Ayah (saya) Kelantan, mak Melaka. Saya merantau, setiap kali masuk Kelantan, masuk border Jeli hingga Bachok hujung, itu lah rupa jalan, federal road. Melaka berubah setiap kali.

"Point saya adalah federalism. You tak rasa, Kelantan dinafikan. Masa YB Rafizi pembangkang pun perkara sama (dibangkitkan).

"33 tahun Kelantan bawah PAS, tak pernah merasa nikmat federalisme sebagaimana dinikmati Negeri Sembilan dan Melaka. Kecuali dua tahun sahaja apabila kerajaan Kelantan dan persekutuan sama bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri,” katanya.

'Hutang mesti dibayar'

Sementara itu, Syahir berkata secara prinsip hutang perlu dibayar, termasuk hutang oleh kerajaan negeri Kelantan kepada kerajaan pusat apabila ditanya mengenai perkara itu oleh Rafizi.

Bagaimanapun, Syahir sekali lagi menyebut mengenai amalan federalisme bahawa bantuan kewangan boleh dipertimbangkan berdasarkan "hubungan bapa-anak" dengan kerajaan negeri.

Rafizi sebelum itu meminta Syahir menjelaskan sama ada dia akan menggunakan kaedah sama yang dilakukan kerajaan Kelantan untuk meminta pembatalan hutang negeri, jika ditugaskan menguruskan hutang negara Malaysia sebanyak RM1.5 trilion.

Dalam segmen terakhir perdebatan itu, Rafizi dan Syahir diberi masa enam minit setiap seorang untuk menggulung debat mereka.

Rafizi secara keseluruhan mengulangi bahawa pelbagai langkah untuk menangani masalah struktur termasuk kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah telah pun dilaksanakan, dengan petunjuk ekonomi positif dilihat dalam kadar inflasi yang lebih rendah, serta jumlah pelaburan asing dan domestik yang semakin meningkat.

Sementara itu, Syahir menegaskan bahawa model ekonomi baru yang dicadangkan untuk Malaysia dibina di bawah "bumbung" kestabilan negara, disokong oleh empat 'tiang utama - integriti ekonomi, keadilan ekonomi, kitaran ekonomi dan kesederhanaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS