Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua pendakwa kes rasuah Zahid sahkan mohon bersara awal
Diterbitkan:  Aug 9, 2023 1:36 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Raja Rozela Raja Toran, bekas ketua pendakwa raya dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan dia memohon untuk bersara awal.

"Ya, saya memohon untuk bersara awal dan mohon bercuti sebelum bersara mulai 1 November ini," katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Idrus Harun

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun mengumumkan bahawa Raja Rozela memilih untuk bersara selepas soalan dibangkitkan berhubung laporan berita bahawa dia “digugurkan" dan digantikan dengan pendakwa raya kanan Mohd Dusuki Mokhtar.

Timbalan Ketua Biro Perundangan dan Undang-undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif berkata penyingkiran Raja Rozela daripada kes itu berada pada titik kritikal kerana representasi Zahid kepada Peguam Negara untuk kes itu digugurkan masih menunggu keputusan.

“Reputasi negara kita, dalam bentuk pelaburan dan perniagaan, akan terjejas susulan cara pendakwaan ini dikendalikan,” katanya.

Sasha Lyna Abdul Latif

Pembangkang telah berulang kali memusatkan perhatian pada kes Zahid, dan mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya mungkin digugurkan sebagai sebahagian daripada percaturan politik.

Zahid memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan gabungan Pakatan Harapan-BN selepas pilihan raya umum November lalu yang menyaksikan kebuntuan.

Dalam kenyataannya, semalam, Peguam Negara Idrus Harun, berkata Raja Rozela memohon untuk bersara awal pada 3 April. Dia turut menjelaskan sebab memilih Dusuki untuk mengetuai pendakwaan.

"Raja Rozela Raja Toran telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada bulan 3 April 2023. Pemohonan tersebut telah diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 Nov 2023.

“Selanjutnya, Raja Rozela telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023.

“Dusuki telah dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan melibatkan Zahid yang baru berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun beliau sebagai seorang DPP,” katanya.

Menurut Idrus, Dusuki juga berpengalaman mengendalikan kes-kes berprofil tinggi termasuklah kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Peguam Negara itu menambah memandangkan perbicaraan kes jenayah Zahid telah ditetapkan untuk disambung semula pada 21 Ogos sehingga Disember tahun ini, maka adalah penting untuk melantik ketua pasukan pendakwaan baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS