Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos SPRM telefon, kata kes menantu Muhyiddin 'kes besar' - Anwar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Melaysia (SPRM) mendedahkan menantu kepada Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan ingkar janji untuk kembali semula ke tanah air selepas dibenarkan keluar negara atas urusan tertentu.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, dia dimaklumkan perkara itu oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menerusi panggilan telefon malam tadi.

"Tadi dari perjalanan saya Sungai Long ke Cuah, Port Dickson. Panggilan daripada ketua pesuruhjaya SPRM. Ini kenyataan sebab menantu dia (Muhyiddin) lari, saya kata lari di mana?

"Saya kata (tanya SPRM) kes ni kes kecil ke kes besar, dia (Azam) kata kes besar. Sudah siasat, dah bagi notis, dah.

"Kemudian macam mana dia (Muhamad Adlan) boleh keluar (negara). Dia (Muhammad Adlan) kata dia nak keluar, dia nak balik (semula ke Malaysia), jadi dia tak balik," kata Anwar dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Paroi, Negeri Sembilan, malam tadi.

Kelmarin, SPRM dilapor sedang mengesan dua lelaki, termasuk Muhammad Adlan yang juga menantu kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menurut suruhanjaya itu, ia bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Selain Adlan, SPRM juga mengesan Mansoor Saat, 69 tahun.

Menurut SPRM, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapti kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata dia tidak mahu "menjatuhkan hukuman terlebih dulu" kepada menantu kepada Muhyiddin, sebaliknya menyerahkan kepada badan kehakiman untuk menentukan sama ada dia bersalah ataupun tidak.

"Dia tak balik apa jadi, kita bagi notislah. Tapi itu tak apalah proses siasatan hakim memutuskan, kita belum tahu (bersalah ataupun tidak), cuma dia (SPRM) kata ada kes," katanya.

Anwar turut menyindir kepimpinan PN yang mendakwa mereka bersih dalam kempen mereka, sebaliknya turut terpalit dengan isu penyelewengan.

Sementara itu, Anwar berkata dia akan menggempur kubu "pengkhianat" Mohamed Azmin Ali di DUN Hulu Kelang sekali lagi Khamis nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata dia akan turut berkempen sekali lagi di kawasan itu bagi menewaskan Azmin.

"Di mana-mana saya ajar satu hal yang tak boleh diizinkan, pengkhianatan dalam perjuangan. Sebab itu saya dan Ahmad Zahid Hamidi ke Hulu Kelang pada hari Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, si kitol.

"Dalam budaya sejarah Melayu tidak ampunkan pengkhianat," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS