Bekas menteri besar Kedah, Mahdzir Khalid pernah bertanding dan memenangi kerusi DUN Pedu sebanyak dua kali pada 2004 dan 2008.
Kini, dia cuba merampas kembali kerusi itu daripada PAS selepas kali terakhir memenangi kerusi itu sekitar 15 tahun lalu.
Timbul spekulasi bahawa bekas naib presiden Umno itu mungkin menjadi calon menteri besar sekiranya dia memenangi kerusi berkenaansekali lagi dan PH-BN berjaya menawan Kedah.
Bagaimanapun, pencalonan Mahdzir untuk penggal ketiga di Pedu berisiko mengulangi semula keputusan PRU15, apabila dia tewas di kerusi Parlimen Padang Terap kepada Perikatan Nasional.
Pengundi Pedu yang ditemui Malaysiakini cukup mengenali Mahdzir dan secara umum melihatnya sebagai seorang yang baik.
Seorang pengundi, Abdul Wahab berkata, dia menyokong Mahdzir yang lebih popular dengan gelaran Tok Det sejak berusia 18 tahun dan pemimpin berkenaan telah banyak membantu penduduk setempat.
"Dia banyak jasa sangat, dari segi ekonomi dia tolong, pembangunan dia tolong, pendidikan ada (dibantu), masyarakat pun dibantu, sebab tu saya mohon semua menyokong tokdet. Dari umur 18 saya sokong BN sampai bila-bila.
"Saya haraplah anak muda semua supaya undi calon BN untuk naikkan tokdet sebab jasa dia terlalu banyak di sini. Saya daripada dulu lagi, dari zaman Tun M saya ahli (Umno). Walaupun dah tukar beberapa kali PM tapi saya tak kalih,” katanya yang kini berusia 71 tahun.
Seorang lagi pengundi yang mengakui Mahdzir sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa ialah suri rumah, Munah Din.
“Dia baguslah tentang rakyat ni. Dia bantu rakyat kalau yang dalam kesusahan. Dia tak besar diri. Saya dah tahu dia lama dah. Dia amat bagus,” katanya.
Pun begitu suri rumah berusia 75 tahun itu berkata dia tidak akan mengundi Mahdzir kerana tidak mengenali orang di sekelilingnya, sebaliknya akan mengundi PN pada PRN ini.
"Masa undi tahun lepas, PH. Masa Mahathir dulu undi PH. Sebelum Mahathir undi BN. Sebab kita tengok la perintah macam mana," katanya.
Munah menjelaskan dia tidak akan mengundi BN kerana tidak berpuas hati dengan pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya sebagai "kemaruk kuasa".
Munah bukannya satu-satunya individu yang memiliki pandangan sedemikian.
Undi beralih
Lawan Mahdzir di Pedu, Mohd Radzi Md Amin dari PAS, memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti tipis 670 undi dan hanya 43.1 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun, pada PRU15, peratusan pengundi Pedu yang berpihak kepada PAS dan PN di parlimen meningkat kepada 54 peratus - manakala BN hanya 40 peratus undi, dan PH enam peratus.
Tetapi penyokong BN yang beralih sokongan kepada PN bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi Mahdzir di Pedu.
Dia juga terpaksa berdepan dengan penyokong BN yang enggan keluar mengundi.
Ini termasuk individu yang dikenali sebagai Hashim, yang turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Ahmad Zahid selaku presiden Umno.
"Memang sekarang saya ahli Umno, itu yang saya tak keluar undi. Kalau keluar kena pangkah Umno, sebab itu tak nak undi.
“Saya tak kalih Umno tapi benci. Nak pangkah PN tak sanggup sebab kita orang Umno, ahli Umno selama 30 tahun lebih,” katanya yang berusia 54 tahun.
Hashim berkata dia mengundi BN pada PRU14 tetapi tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan - menyebabkan dia tidak keluar mengundi tahun lepas.
Hashim berkata, walaupun kedua-dua calon merupakan anak tempatan, namun tidak seperti Radzi, Mahdzir sering berada di luar kawasan.
"Bagi saya PAS menang, itu saya tak keluar undi, kalau saya keluar undi BN menang sebab saya 6 orang (anak yang boleh mengundi),” katanya.
Akar umbi kecewa
Beberapa ahli akar umbi Umno yang ditemui Malaysiakini turut berkongsi pandangan serupa seperti Hashim, dan mengakui ia sebagai tanda protes terhadap Zahid.
"Saya kecewa. Kerjasama (BN-PH) telah dirancang. Sebelum PRU15, kata 'Tiada Anwar, tiada DAP'. Dan kita lihat Zahid ada kes mahkamah,” kata seorang ahli Umno yang enggan namanya disiarkan.
“Dan bila (BN dan Umno berkuasa di peringkat persekutuan) dia pecat orang seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa, Noh Omar,” katanya.
Dua lagi ahli akar umbi yang ditemui Malaysiakini berkata mereka tidak pasti sama ada akan keluar mengundi pada 12 Ogos atau sebaliknya.
“Kami sayang Umno, tetapi kerana Zahid... saya tidak mahu undi PN. Macam mana kita nak protes? Kita hanya boleh lakukannya dengan (tidak) undi,” tambahnya.
Mahdzir: Naratif PN
Sementara itu, Mahdzir ketika bercakap dengan Malaysiakini menafikan BN hilang sokongan.
Dia berkata ia adalah naratif yang dimainkan oleh PN untuk mempengaruhi ahli Umno.
Jelasnya walaupun ada ahli Umno yang kecewa, masih ada masa untuk dia memenangi hati mereka.
Sementara itu, Mahdzir juga yakin bahawa sentimen akar umbi Umno pada pusingan pertama kempen menunjukkan tidak banyak 'gelombang' PN di kawasan itu.
“Dalam PRU15, sokongan asas untuk parti kekal. Tetapi ada gelombang atas pagar yang beralih ke PN, termasuk golongan muda,” katanya.
“PN dan Bersatu sekarang cuba membawa kembali gelombang tserbut tetapi kita telah menjadi kerajaan selama sembilan bulan,” katanya.
Seorang pengundi yang hanya memperkenalkan diri sebagai Nizam masih belum yakin dengan gabungan PH-BN.
Bercakap kepada Malaysiakini, katanya dia beralih sokongan kepada PN untuk "memberi mereka peluang" dalam meningkatkan ekonomi - tetapi masih terbuka dengan pilihan lain.
“Dengan kos sara hidup jadi terumbang ambing dengan Umno pun, dalam 10 tahun dah saya tukar, saya tak undi PAS, dulu saya Umno.
“Saya tak cakap undi nak mana tapi saya akan undi, saya tengok kalau maintain elok harga (barang) kemungkinan saya akan tukar balik.
“Saya tengok sekarang nak tukar kerajaan, kita tengok BN dah pernah perintah, PH pun sudah,” katanya.