mk-logo
Berita
Kumpulan pelajar bidas Anwar enggan hapus kuota bumiputera
Diterbitkan:  Aug 9, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Kumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung jawapannya terhadap soalan seorang pelajar remaja mengenai pemansuhan sistem kuota bumiputera untuk kemasukan ke universiti awam.

Umany mengkritik pendirian Anwar mempertahankan sistem kuota, serta cara dia menjawab soalan pelajar itu.

“Pakatan Harapan dikenali sebagai parti yang menyokong kesaksamaan sosial, di mana dalam sistem yang sama, golongan yang kurang bernasib baik diperkasakan tanpa melumpuhkan golongan yang bernasib baik.

"Memandangkan Malaysia berkembang menjadi sebuah negara yang lebih maju dari segi sosioekonomi, kini tiba masanya untuk kita menghapuskan dasar berasaskan kaum dan melaksanakan dasar berasaskan keperluan," kata kumpulan itu.

“PMX (Anwar) menggelar orang yang mahu sistem kuota dihapuskan sebagai pelampau.

"Sebagai perdana menteri Malaysia, dan penyokong kesaksamaan dan keadilan, ini tidak wajar," tegas kumpulan itu.

Umany berhujah pemansuhan sistem kuota telah lama tertangguh untuk digantikan dengan sistem kemasukan yang berasaskan meritokrasi.

Kumpulan itu seterusnya menyifatkan sistem kuota itu sebagai "dasar perkauman" yang dikatakan telah menghalang potensi Malaysia untuk membangunkan sosio-ekonomi negara.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/85a94ba2d1f59fd4590bd4864d9f4828.jpg

Anwar semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas pada hari Sabtu, menjawab seorang pelajar yang bangkit bertanya bilakah sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi.

Pelajar itu juga meminta agar dia diberi masa untuk menerangkan beberapa konteks sebelum mengemukakan soalannya.

"Saya dan rakan-rakan saya, serta orang lain yang tidak dikenali, terjejas oleh sistem kuota ini, semuanya kerana mereka tidak mempunyai status bumiputera," katanya pada video acara itu yang disiarkan di Facebook rasmi Anwar.

Bagaimanapun, Anwar memotongnya sebelum dia habis menjelaskan konteks soalannya dan perdana menteri kemudian berkata dia sudah menjawab soalan yang sama sebelum ini.

Selepas itu, dia berkata pelajar itu sepatutnya mengelak daripada membincangkan sistem kuota dan sebaliknya perlu menunjukkan kes-kes khusus orang bukan Melayu yang dinafikan kemasukan matrikulasi, membolehkan kerajaan menangani keadaan itu.

"PMX meminta pelajar itu 'memahaminya', dengan mengatakan bahawa jika dia memansuhkan sistem kuota, kerajaan Pakatan Harapan akan 'kehilangan semua pilihan rayanya', dan 'rakyat akan lebih menderita di negara ini yang dikendalikan oleh PAS dan Bersatu'.

“Kami harus memahami kenyataan beliau sebagai paksaan kepada rakyat untuk berhenti memperjuangkan keadilan sosial, dan menyokong motif politik beliau sendiri,” kata Umany.

Dalam kes itu, Umany berkata tindakan Anwar tersebut dilihat berubah dari memperjuangkan keadilan sosial kepada menggunakan kad perkauman, menjadikan PH tidak berbeza dengan BN dan PN.

Anwar juga pada acara dialog itu menyifatkan penghapusan sistem kuota bumiputera akan menjadi tidak adil terhadap pelajar bumiputera di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan sebaik di bandar.

Menurut Anwar lagi, pemansuhan kuota bumiputera di institusi pengajian tinggi akan menyebabkan PH dan BN menghadapi kekalahan dalam semua pilihan raya akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS