Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'No komen' - Muhyiddin kunci mulut isu menantu dicari SPRM
Diterbitkan:  Aug 8, 2023 8:59 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin enggan mengulas berhubung menantunya, Muhammad Adlan Berhan yang sedang dikesan SPRM.

"No komen," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika membantu kempen calon PN di DUN Batu Tiga Rina Harun, di Shah Alam hari ini.

Semalam, SPRM berkata pihaknya sedang mengesan lokasi Muhammad Adlan dan seorang lagi individu, Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM.

"Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini," kata SPRM dalam kenyataan.

Pada Februari lalu, Muhyiddin menafikan sebarang penglibatan ketika dia menjadi perdana menteri dalam pemberian kontrak yang didakwa ada kaitan dengan Muhammad Adlan.

"Saya sebagai perdana menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka," kata Muhyiddin pada 9 Feb.

Dia juga berkata tiada ahli keluarganya mempunyai hubungan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS