Paling Popular
Terkini

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Azmin Ali, bagi menuntut pemimpin Bersatu itu memohon maaf atas kenyataan yang didakwa bernada fitnah.

Lim memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Sungai Petani pada April lalu, berhubung kenyataan yang dibuat Azmin ketika kempen PRU15 di Lunas, Kedah pada 12 November lalu.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, Lim mendakwa kenyataan Azmin membayangkan dia bersikap angkuh ketika menjadi menteri kewangan ketika 2018 hingga 2020.

Dia mendakwa kenyataan Azmin membayangkan dia menakut-nakutkan komuniti perniagaan di Malaysia.

Dia juga mendakwa kenyataan Azmin membayangkan dia menggunakan kuasanya ketika itu untuk mengenakan tindakan secara terpilih kepada entiti korporat dan syarikat yang dikaitkan dengan MCA.

Di samping menuntut Azmin untuk menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf secara terbuka di akhbar The Sar, Lim juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Lim, Simon Murali mengesahkan Mahkamah Tinggi Sungai Petani membenarkan permohonan plaintif untuk menyerahkan dokumen saman kepada Azmin menerusi khidmat perantara.

Murali berkata, ini kerana pihaknya tidak dapat menyerahkan kertas kausa secara terus kepada Azmin sejak saman difailkan pada April lalu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pasukan peguam Azmin untuk mengulas perkara ini.

Dakwaan menggunakan LHDN

Pada 17 November lalu, Lim berkata dia akan memfailkan saman berhubung kenyataan Azmin bahawa dia menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar syarikat yang berkaitan dengan MCA semasa menjadi menteri kewangan.

"Sebagai salah seorang arkitek utama Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH yang dipilih secara demokratik, Azmin dalam keadaan terdesak dan cuba untuk melepaskan peranan ‘pengkhianat’nya.

"Azmin telah memilih saya untuk dijadikan sasaran dengan membuat serangan peribadi walaupun saya tidak membuat provokasi terhadapnya, namun dia tetap dengan mencipta pembohongan dan diterbitkan oleh MCA dan akhbar prokerajaan.

"Saya tidak pernah menggunakan LHDN untuk menyasarkan mana-mana ahli perniagaan Cina. Walaupun saya telah berulang kali meminta Azmin menunjukkan bukti, namun dia gagal berbuat demikian," kata Lim ketika itu.

Azmin turut mendakwa Lim bertanggungjawab berhubung cukai baru terhadap perniagaan, yang disasarkan ke atas perniagaan Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS