Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DPP kes Zahid mohon bersara empat bulan lalu - AG
Diterbitkan:  Aug 8, 2023 6:00 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Raja Rozela Raja Toran, yang merupakan ketua pasukan pendakwaan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, telah memohon untuk bersara awal pada 3 April lalu.

Peguam Negara (AG) Idrus Harun mendedahkan perkara itu dalam kenyataan media selepas media melaporkan timbalan pendakwa raya (DPP) itu didakwa digugurkan daripada perbicaraan yang sedang berjalan, yang sekali gus mengundang pertikaian daripada ahli politik pembangkang.

Idrus berkata keputusan untuk menggantikan Raja Rozela dengan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah itu telah dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan sewajarnya.

"Raja Rozela Raja Toran telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada bulan 3 April 2023. Pemohonan tersebut telah diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 Nov 2023.

“Selanjutnya, Raja Rozela telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023," katanya.

“Mohd Dusuki Mokhtar telah dipilih sebagai ketua pasukan

pendakwaan melibatkan Zahid yang baru berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun beliau sebagai seorang DPP.

"Beliau pada ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan

Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuklah kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah," kata Idrus.

Idrus berkata memandangkan perbicaraan kes jenayah Zahid telah ditetapkan untuk disambung semula pada 21 Ogos sehingga Disember tahun ini, maka adalah penting untuk melantik ketua pasukan pendakwaan baru.

"Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perkara 145 memperkatakan kuasa Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan, dan menghentikan prosiding jenayah di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS