Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri: DAP mewakili bukan Melayu, bukannya MCA, MIC

Umno, BN perlu menerima hakikat bahawa parti itu perlu bekerjasama dengan DAP jika ingin menarik sokongan bukan Melayu, kata bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno , Nazri Aziz.

Jelasnya, realiti hari ini DAP adalah parti yang mewakili bukan Melayu di negara ini, dan bukannya MCA dan MIC.

"Kita kena kerjasama dengan DAP sebab hakikatnya DAP mewakili orang bukan Melayu, bukan lagi MCA, bukan lagi MIC. 

"Kalau kita masih lagi mengatakan bahawa DAP kecinaan, tapi hari ini sapa dengar cakap siapa. DAP dengar cakap kita ke kita dengar cakap DAP. Kalau kita dengar cakap DAP orang macam M Kulasegaran, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo (akan) ada sebagai menteri.

"Yang menentukan siapa menteri daripada DAP, adalah orang Melayu, perdana menteri," kata duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu ketika ditemui pada Ceramah Mega Perdana Perpaduan yang dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Ukay Perdana malam kelmarin.

Nazri berada di tanah air dalam tempoh cuti dan hadir memberi sokongan kepada kempen calon kerajaan perpaduan.

Umno, BN buat pertama kali mencipta sejarah apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi DAP bagi membentuk kerajaan pusat.

Kerjasama itu terbentuk selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN yang memenangi jumlah kerusi paling sedikit dalam sejarah politiknya pada PRU15 lalu membuat keputusan untuk bersama PH, GPS, GRS dan gabungan parti politik lain untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang sedang berlangsung ketika ini juga merupakan satu detik sejarah apabila BN, PH bertanding sebagai satu gabungan.

Dalam pada itu, Nazri berkata suka ataupun tidak Umno, BN kena terima hakikat bahawa DAP kini merupakan parti yang mewakili bukan Melayu.

Umno, katanya, tidak akan dapat menarik sokongan bukan Melayu sekiranya masih bergantung harap kepada MAC dan MIC.

"Memang dulu Umno tak kerjasama dengan DAP, tapi sekarang realitinya suka tak suka kita kena terima DAP mewakili bukan Melayu. 

"Kalau kita nak gendong MCA, nak gendong MIC, selagi itulah orang  bukan Melayu tak akan sokong kita," kata bekas ahli Parlimen Padang Rengas itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS