Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vincent Tan tuntut Sanusi minta maaf, bayar RM200 juta
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 7:55 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan telah mengeluarkan surat tuntutan kepada menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, menuntut permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan RM200 juta.

Ini adalah berhubung dakwaan Sanusi mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

Dalam surat yang dikeluarkan melalui firma undang-undang Pierre Chuah & Associates, peguam Tan menegaskan bahawa dakwaan Sanusi adalah "jelas palsu, tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, dan berniat jahat terhadap anak guam kami".

Mereka juga menuntut Sanusi menarik balik tuntutannya dan membuat akujanji bertulis untuk berhenti mengulangi dakwaannya.

Surat itu memberi Sanusi sehingga esok untuk bersetuju dengan tuntutan mereka.

Sekiranya gagal, firma guaman itu berkata mereka menerima arahan Tan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Sanusi.

Syarikat guaman itu memberi amaran bahawa dakwaan Sanusi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

“Oleh itu, anak guam kami berhak untuk membuat laporan polis terhadap anda,” kata mereka dalam surat bertarikh 4 Ogos.

Dalam ucapan semasa ceramah Perikatan Nasional di Jitra, Kedah, pada 2 Ogos, Sanusi mendakwa Selangor boleh menanggung kerugian sehingga RM180 juta kerana projek Gerbang Maritim Selangor.

Dia juga mempersoalkan bagaimana Tan boleh memperoleh pegangan penting dalam firma milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI-Selangor).

Menteri besar sementara Selangor Amirudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Land Syed Ali Shahul Hameed telah menafikan dakwaan Sanusi dan mengancam tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Sanusi memberitahu Malaysiakini pada Sabtu lalu, bahawa dia akan membuktikan dakwaannya di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS