Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN adukan tuduhan calon tak solat Jumaat ke polis

Isu salah seorang calon BN Kelantan yang didakwa tidak menunaikan solat Jumaat dilaporkan kepada polis sebagai salah satu langkah membela mangsa.

Zailany Zakaria (gambar atas, dua dari kanan) berkata tuduhan tersebut disedarinya pagi semalam dan ia kemudian dirujuk ke Balai Polis Pengkalan Chepa beberapa jam selepas itu.

Dia yang juga ketua strategik jentera BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berkata tuduhan itu bersifat fitnah dan mencemar nama calon terbabit.

"Saya menyedari hantaran (dakwaan) itu ketika berada di rumah di Batu 6, Pengkalan Chepa dan amat terkilan dengan laman Facebook berkenaan kerana mendakwa calon BN (bagi DUN Chempaka) tidak solat Jumaat.

"Saya nak tegaskan bahawa calon BN bagi DUN Chempaka ialah, Nik Normi Nik Ayub, seorang wanita dan tidak wajib mendirikan solat Jumaat," katanya kepada Malaysiakini.

Zailany, 50, menjelaskan tuduhan yang dibuat ke atas Nik Normi - yang juga isterinya - sengaja dibuat bagi menjatuhkan moral calon serta memberi kesan buruk terhadap keputusan PRN nanti.

Nik Normi Nik Ayub

DUN Chempaka yang mencatat 34,641 pengundi menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Nik Normi sebagai wakil kerajaan perpaduan, Nik Asma' Bahrum Nik Abdullah (PAS-PN) dan Ibrahim Sulong (bebas).

Pada 2018, kerusi itu dimenangi calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood yang memperoleh 10,549 undi dan meninggalkan pencabar terdekat, Mohamed Fareez Noor Amran (BN) dengan majoriti 3,474 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding di situ ialah Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Jangan ‘pembaris’ sangat

Zailany berkata komen-komen yang ditinggalkan pengguna Facebook di bawah hantaran tersebut menggambarkan seolah-olah BN jauh dari Islam.

“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik laman Facebook berkenaan,” katanya.

Tambah Zailany BN juga kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang merosakkan poster Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan calon PH bagi DUN Tanjong Mas, Zinda Khalil Sastro Hassan.

Sementara itu semakan Malaysiakini mendapati hantaran di Facebook Pengkalan Chepa News itu dinyatakan sebagai hanya hanyalah bersifat sarkastik.

“Dia kan perempuan. Janganlah ‘pembaris’ sangat. Orangnya baik. Anak-beranak kita semua,” tulis pemilik laman berkenan pada bahagian komen hantaran tersebut.

Bagaimanapun semakan terkini mendapati hantaran berkenaan sudah dipadamkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS