Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: K'jaan pusat bertukar jika PN menang besar dalam PRN

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan persekutuan akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Dalam ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan, malam tadi, timbalan pengerusi PN itu berkata kemenangan PN sangat penting untuk menukar kerajaan persekutuan.

"PRN enam negeri yang baki ini sangat penting untuk menangkan PN. Perlu menang besar.

"Insya-Allah, kita menang sepenuhnya Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kita nak menang juga di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Kalau menang ini akan berlaku perubahan kerajaan pusat. Itu maknanya," katanya di depan lebih 500 hadirin tapak parkir Merchant Square, Bandar Sendayan, malam tadi.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut bagaimana pertukaran itu boleh berlaku. 

Malaysia kini mempunyai undang-undang yang melarang anggota parlimen mengalihkan sokongan dengan menyokong parti lain.

Bagaimanapun, sesebuah parti bebas mengalihkan sokongan dan membentuk gabungan dengan parti lain.

Sementara itu, Hadi yakin PN akan mencapai sasaran itu jika lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi.

"Kaum lain keluar undi 90 peratus, Melayu 70 peratus. Masih ramai tak nak keluar undi,” dakwanya.

Hadi pada Disember lalu pernah membuat dakwaan sama bahawa kadar keluar mengundi orang Cina lebih tinggi berbanding orang Melayu, antaranya disebabkan musim umrah. 

Bagaimanapun penganalisis politik terkenal seperti Bridget Welsh menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Katanya anggarannya mendapati seramai 78 peratus orang melayu keluar mengundi pada PRU 2022 berbanding Cina dengan 69 peratus.


BACA: Analisis undian etnik PRU15 – Siapa keluar mengundi?


Hadi antara pemimpin penting dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi (PH) melalui Langkah Sheraton pada 2020.

Dia sudah beberapa kali menyebut bahawa kerajaan persekutuan akan tumbang dalam masa terdekat.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita, timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mempertahankan kerajaan persekutuan boleh ditukar dengan pelbagai cara, walapun negara mempunyai Akta Antilompat Parti.

"Oh, macam-macam cara di negara kita.

Ahmad Faizal Azumu

“Walaupun, ada akta antilompat parti tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk tukar sesebuah kerajaan begitu juga dengan kerajaan-kerajaan negeri lain.

"Ada proses perundangan mengikut perlembagaan yang boleh dibuat," katanya yang turut hadir ke ceramah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS