Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Feri baru Pulau Pinang beroperasi hari ini
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 11:57 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Perkhidmatan feri baharu dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) yang dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang dan pelancong, mula beroperasi sepenuhnya hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata terdapat empat feri baharu yang dinamakan Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar beroperasi melakukan 68 perjalanan dua hala sehari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak manakala 30 minit pada waktu bukan puncak.

Beliau turut memaklumkan kedua-dua terminal juga dinaik taraf untuk memberikan keselesaan kepada penumpang ketika menunggu ketibaan feri, dengan kelengkapan ruang menunggu berhawa dingin, kamera keselamatan serta kemudahan lif bagi Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Bercakap daripada pengalaman, saya percaya semua penumpang feri pada masa dahulu, satu isu adalah masa untuk menunggu dalam keadaan yang kurang selesa, tetapi mulai hari ini kita menyaksikan satu perubahan yang ketara,” katanya kepada media selepas pelancaran feri baru di PRTU hari ini.

Beliau berkata pengguna feri juga dapat menikmati perkhidmatan feri secara percuma mulai hari ini sehingga 7 Sept dengan membawa seramai 150 penumpang serta 50 motosikal dalam satu masa.

Selain itu, Chow berkata pihaknya akan meneliti penggunaan teksi air untuk menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Prai dengan lebih pantas kerana mempunyai persisiran pantai yang panjang.

“Jadi pihak kerajaan negeri akan beri kerjasama dan mahu menjadi satu pemegang taruh yang penting bersama Menteri Pengangkutan dalam meneroka pengangkutan awam atas laut dengan lebih luas dan efisien,” katanya.

Bekas guru, Utam Singh, 75, ketika ditemui di sini berkata walaupun telah berpindah di Kulim, Kedah, beliau tidak mahu terlepas daripada merasai perkhidmatan feri baharu yang menurutnya lebih canggih berbanding feri-feri sebelum ini.

“Saya amat tertarik dengan feri Pulau Pinang sejak tahun 50-an, dari Pulau Pinang ke stesen kereta api Prai, kemudian muncul generasi baharu, dan saya rasa perkhidmatannya semakin selesa, bertmbah pantas berbanding sebelum ini.

Pembantu Kesihatan Hospital, Mohd Fairul Nizan Misni, 30, pula berkata penggunaan feri lebih menjamin keselamatan, kerana beliau sering berulang-alik antara Padang Serai dan Hospital Pulau Pinang yang mengambil masa 50 minit perjalanan.

“Kadang kala dari Padang Serai, masa perjalanan yang jauh, jadi bila ada atas feri ini kita dapat rehat sedikit lebih-lebih lagi bila mengantuk. Selain itu, kesesakkan di atas jambatan juga boleh membahayakan keselamatan dengan ada angin yang kuat lagi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS