Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas dakwa calon Bersatu ‘lemah’ - Faiz Na'aman keluar parti
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 10:02 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Muhammad Faiz Na'aman hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk keluar  sebagai ahli parti itu.

"Keputusan yang saya ambil ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan serta hala tuju Bersatu.

"Saya ucapkan terima kasih atas segala peluang yang telah diberikan kepimpinan parti selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini, sejak ia ditubuhkan pada 2016," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Faiz sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berlawanan dengan keputusan pimpinan tertinggi berhubung calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, calon Bersatu yang akan bertanding adalah ‘lemah dan bermuslihat’ dan membangkitkan keputusan parti untuk mencalonkan mereka yang telah tewas dalam PRU15, dan secara khusus menyebut nama Rina yang tewas di Sepang, Mohamed Azmin Ali (Gombak), Sasha Lyna Abdul Latiff (Ampang) dan Dr Afif Bahardin (Shah Alam).

Menurut Faiz, dia turut mengutuskan surat peletakan jawatan itu kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan yang panjang lebar, Faiz juga mendakwa, Bersatu kini sudah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan Umno.

“Saya lihat sedikit demi sedikit parti Bersatu telah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan Umno dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu, terutama yang mempunyai latar belakang bersih, berkelulusan akademik, dihormati dan mereka setia dengan parti dari mula.

"Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu telah mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya.

Dakwa Faiz, sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN di enam negeri 12 Ogos ini terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang.

"Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak kartel tertentu serta calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti, hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian Bersatu di Selangor ini hingga terdapat insiden membakar bendera PN secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan jawatankuasa pemilihan /saringan calon," katanya.

Faiz, yang dilantik sebagai ahli majlis tertinggi Bersatu pada 2020, mendakwa parti itu tidak dihormati oleh parti komponen Perikatan Nasional "terbesar".

“Lebih memalukan sekarang ialah Parti Bersatu hakikatnya makin tidak dihormati malah ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendahkan oleh parti rakan komponen yang terkuat dalam PN apabila mereka tahu bahawa  Bersatu makin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh akibat terlalu banyak percaturan politik dalaman dan watak-watak yang tidak dihormati masyarakat luar diangkat menjadi pemimpin sama ada di peringkat Pusat, Negeri atau Bahagia dalam parti. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS