Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guna gambar sultan di papan iklan - Calon PH mohon maaf
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 9:48 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Gara-gara mahu membuktikan bahawa kerajaan negeri Selangor mampu melakukan inovasi pentadbiran, calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze memuat naik gambar mereka mengadakan persidangan dewan undangan atas talian.

Namun, ini mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak, khususnya pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana Ng memuatkan gambar mereka bersama Sultan Selangor pada sebuah papan iklan kempennya.

Menyedari kesilapan itu, Ng terus memohon maaf , dan berkata pasukannya telah menurunkan papan iklan tersebut.

“Saya ingin berterima kasih atas keprihatinan dan teguran (Ahli Parlimen Machang) YB Wan Ahmad Fayhsal (Wan Kamal) atas bahan kempen kami. 

“Saya dengan rendah diri menyusun sepuluh jari memohon maaf atas perkara tersebut,” katanya.

Papan iklan yang dipertikaikan itu memuatkan gambar anggota DUN yang sedang bersama sultan Selangor dalam pakaian rasmi mereka berserta tajuk: Budaya Tahan: Selangor pinda Peraturan Tetap untuk membenarkan sidang atas talian dalam keadaan luar biasa (contoh pandemik). 

“Untuk makluman, ini adalah gambar hari pertama persidangan DUN Selangor dan niatnya hanya untuk melambangkan Dewan Undangan Negeri. 

“Kami tidak ada sebarang niat untuk menggunakan gambar atau mengheret DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam kempen politik kami. 

“Sekali lagi kami mohon maaf dan kami tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Sesungguhnya bumi mana yang tidak ditimpa hujan, kami adalah manusia dan tiada sesiapa lari dari kesilapan,” kata Ng.

Papan iklan itu mengandungi logo PH dan diletakkan sebagai sebahagian daripada kempen Ng.

Bagi Wan Ahmad Fayhsal, Ng bukan calon baharu dan perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

“Dia pernah menjadi ahli parlimen sebelum ini. Tidak mungkin dia tidak memahami peraturan.

“Sangat menghina baginya mengheret istana ke dalam politik partisan,” kata pemimpin PN itu.

Pada PRN 12 Ogos ini, Ng mempertahankan kerusinya di DUN Subang Jaya. Dia dicabar oleh Gana Pragasam Sebastian dari PN dan calon Muda, Zayd Shaukat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS