Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bau busuk - Penduduk Hulu S’gor dakwa kilang e-sisa langgar peraturan

Menjelang senja di Kampung Rasa di daerah Hulu Selangor, jentera mula bergerak di kilang kitar semula e-sisa (e-waste), terletak lebih kurang 1km dari perumahan penduduk, dan udara mula berbau busuk.

Para penduduk mendakwa bau tersebut berpunca dari kilang Efast Industries Sdn Bhd, yang telah beroperasi hampir setiap malam sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang penduduk kampung, Wong Yi Heng berkata, kilang Efast dibangunkan di sana pada 2019, dan beroperasi pada waktu malam sehingga ke waktu subuh.

“Ini melanggar waktu operas 9 pagi ke 6 petang yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar Selangor,” kata Wong, 34.

“Ini pembakaran secara haram!” tegas ahli perniagaan tersebut. Tambahnya, ia menjejaskan lebih kurang 5,000 penduduk tempatan.

Ketika dihubungi, wakil Efast menafikan dakwaan ini namun meminta percakapannya dengan Malaysiakini tidak dipetik kerana dia bukan wakil rasmi syarikat tersebut.

Malaysiakini telah memohon berkali-kali untuk menemuramah pihak pengurusan Efast, dan telah menghantar soalan untuk dijawab. Setakat ini, tiada maklum balas diterima.

‘Asap kehijauan’

Menurut Wong, para penduduk risau Efast tidak menggunakan proses yang betul untuk kitar semula e-sisa kerana bau asap tersebut amat busuk dan warnanya “kehijauan”.

Menurut laman sesawang DOE, e-sisa dikategorikan di bawah kod SW110, dalam jadual pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Di bawah Kod SW110, sisa didefinisikan sebagai sisa elektrik dan elektronik termasuk penumpuk (akumulator), mercury-switch, kaca dari tiub sinar katod dan lain-lain kaca yang diaktivasi atau kapasitor polychlorinated biphenyl

Ia juga termasuk sisa yang mempunyai kadmium, raksa, plumbun, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan atau polychlorinated biphenyl.

Komponen-komponen ini juga mengandungi logam berharga seperti emas, kuprum, perak dan paladium.

Tetapi menurut JAS, jika tidak diproses dengan betul, komponen-komponen mengandungi elemen toksik dan berbahaya. Ia dan boleh meresap ke dalam bumi dan sumber air serta mengancam hidupan akuatik dan manusia.

“Kalau mereka ikut semua langkah yang sepatutnya, kenapa keluar asap yang berbau? Adakah kerana mereka cuba pendekkan proses untuk jimat kos?” soal Wong.


Laporan berkaitan: Special Report: E-waste smuggled into the country leaves trail of pollution


Katanya, penduduk risau jika syarikat itu tidak memisahkan logam berharga tersebut daripada salutan plastik sebelum meleburkan logam tersebut.

Sebelum ini, terdapat insiden lain di mana pihak syarikat kitar semula cuba jimat kos dengan membakar semua komponen supaya plastik cair dan meninggalkan logam sahaja.

Cara ini akan menyebabkan bau busuk.

Kunjungan Malaysiakini ke kawasan tersebut baru-baru ini mendapati terdapat sejenis bau busuk di udara.

Asap yang dilepaskan kilang Efast yang dirakam pada Jan 2023.

Semakan Malaysiakini mendapati kilang Efast terletak 1km dari kawasan industri, dan jauh dari kilang lain di kawasan tersebut.

Kilang Efast juga terletak berdekatan tasik. Penduduk percaya tasik tersebut bersambung dengan sungai di Selangor, melalui air bawah tanah.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Efast Industries Sdn Bhd dimiliki oleh seorang ‘Datuk’ berumur 39 tahun dan tiga rakan perniagaannya.

Dua daripada pemilik Efast, yang memiliki 40 peratus dan 30 peratus syarikat itu, adalah warga asing.

Adinda kepada Sultan Selangor, yang beralamat di Istana Alam Shah, merupakan salah seorang pengarah syarikat.

Efast mendapat hasil sebanyak RM3.2 juta, menurut akaun yang difailkan pada Mac tahun lalu, tapi mengalami kerugian lebih kurang setengah juta ringgit.

Profil syarikat Efast Industries Sdn Bhd dari SSM.

Kunjungan mengejut JAS

Kata Wong, pencemaran udara itu berterusan walaupun penduduk telah membuat beberapa aduan kepada pihak berwajib, termasuk JAS.

Katanya, pihak penguat kuasa selalunya tiba beberapa hari selepas aduan dibuat, selepas bau busuk sudah hilang.

“Efast beroperasi pada waktu malam, tapi mereka (pegawai JAS Selangor) akan datang pada waktu siang. Tentulah mereka tidak dapat melihat asap atau bau apa-apa.

“Lepas itu mereka bagitau saya ‘siasatan telah selesai’. Bagaimana kes dah selesai kalau kami masih lagi merana akibat bau busuk dan asap?” soal Wong.

Asap yang dikeluarkan kilang e-sisa pada Jun 2023.

Pada Feb 15 tahun lalu, pihak JAS, diketuai Menteri Alam Sekitar ketika itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengadakan kunjungan mengejut ke Efast. Pada masa itu, didapati, sistem semakan pencemaran yang digunakan kilang tersebut telah rosak.

Pihak berkuasa juga menemui sisa berjadual disimpan dengan sisa jenis lain yang mana melanggar syarat operasi.

Kilang itu digantung operasi tapi hanya sementara. Tak lama kemudian, ia beroperasi semula.

Menemui jalan buntu, Wong dan beberapa penduduk tempatan lain kini bercadang mengadakan satu protes untuk menarik tumpuan awam tentang isu yang mereka hadapi.

Operasi digantung beberapa kali tapi tiada pendakwaan

Awal tahun ini, operasi kilang Efast digantung sekali lagi, dan sama seperti dahulu, ia dibenarkan beroperasi semula tidak lama kemudian.

Ini amat dikesali penyandang Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong. Lee telah banyak kali membawa aduan penduduk kepada pihak berwajib.

Lee, yang bertanding di kerusi itu sekali lagi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, berkata lesen kilang berkenaan telah digantung pada 22 Mac, tapi ia dibenarkan beroperasi semula pada 17 April.

Menurut surat penggantungan daripada JAS Selangor kepada Efast, lesen kilang itu digantung kerana menggunakan arang dan penapis beg di relau pembakaran, tanpa kebenaran JAS.

Ini melanggar Peraturan Udara Bersih 2014, kata JAS Selangor.

Sama seperti dalam semakan pada Februari 2022, JAS juga mendapati sistem pemantauan asap (Continuous Emissions Monitoring System) kilang itu tidak beroperasi pada setiap masa dan data dari sistem itu tidak dihantar ke JAS melalui sistem penguatkuasaan pemantaun dari jauh (Integrated Remote Monitoring Enforcement, I-Remote).

Surat dari Efast memaklumkan ia boleh beroperasi semula, bertarikh April 17, 2023.

Menurut Lee, dalam surat yang dihantar kepada Efast yang memaklumkan ia boleh beroperasi semula, JAS menetapkan waktu operasi hanya dari 9 pagi hingga 6 petang.

Namun, kata Lee, pada hari penggantungan operasi dibatalkan, kilang itu didakwa beroperasi pada waktu malam, dan masih beroperasi pada waktu malam sejak hari itu.

“Kenapa pihak JAS membatalkan penggantungan itu dengan terlalu cepat? Kenapa tiada pendakwaan dilakukan ke atas Efast?” soal Lee.

Ketika dihubungi, JAS Selangor berkata Efast telah memperbaiki sistem pemantauan asap mereka dan pihak JAS Selangor akan terus memantau keadaan.

“Pemantauan berkala masih dijalankan untuk memastikan pihak kilang sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Namun, JAS Selangor tidak menjawab pertanyaan berkenaan waktu operasi Efast.

Bukan satu-satunya kes

Kampung Rasa bukan satu-satunya kampung yang dibelenggu pencemaran yang dikaitkan dengan pemprosesan e-sisa di Selangor.

Pada Disember lalu, Malaysiakini melaporkan penduduk Kuala Langat berdepan asap yang busuk, dipercayai datang dari kilang-kilang kitar semula e-sisa.

Pengendali kitar semula juga telah meninggalkan sisa dari proses tersebut di tepi jalan dan di dalam semak. Sisa itu ditinggalkan dalam timbunan yang nampak seperti baja.

Baki e-sisa yang ditinggalkan di tepi jalan di Kuala Langat.

Namun apabila dilihat dari dekat, terdapat sisa plastik dan logam, serta wayar yang telah dibakar dan cip mikro.

Selepas laporan Malaysiakini itu, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat menghubungi portal berita tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut, bagi tujuan melakukan semakan.

Pencemaran dari pemrosesan e-sisa merupakan isu nasional, di mana bertan sisa ini diseludup masuk ke Malaysia setiap bulan, menurut sumber JAS dan Jabatan Kastam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS