Tiada tawaran ‘bulan dan bintang’ dalam manifesto gabungan PH dan BN menerusi ‘Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan’ yang teras utamanya adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Pemimpin dan calon PRN gabungan PH-BN di negeri itu berpandangan manifesto bersejarah tersebut disifatkan menyeluruh dan memenuhi kepentingan setiap lapisan rakyat daripada umur bayi sehingga warga emas.
Pengerusi Umno negeri Jalaluddin Alias berkata manifesto PH-BN itu adalah hasil perbincangan terperinci semua kepimpinan BN dan PH dalam menyediakan tawaran terbaik untuk rakyat di negeri itu.
“Ini merangkumi semua aspek pembangunan, ekonomi, pendidikan serta agama dan pelbagai lagi...para belia juga akan mendapat manfaat dalam soal perumahan serta peluang perkerjaan,” katanya.
Pengarah Pilihan Raya PH-PKR Dr Ahmad Azam Hamzah pula berkata tiada rakyat di Negeri Sembilan akan tercicir daripada menerima manfaat manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi PH negeri Aminuddin Harun.
“Tiada rakyat tercicir daripada pembangunan di negeri ini, ini satu manifesto realistik. Perincian manifesto ini dikaji secara holistik bersama BN, kita tidak mahu ia menjadi retorik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Calon PH-DAP DUN Bukit Kepayang Nicole Tan pula berkata kepimpinan PH dan BN terus memperkasakan dan memartabatkan peranan wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menerusi manifesto itu.
Katanya antara yang menarik dalam manifesto itu ialah teras khas untuk Felda bagi memartabatkan kesejahteran warga Felda di negeri itu serta penambahbaikan inisiatif sedia ada.
“Sudah tentu mencuri tumpuan ialah tentang inisiatif belia, wanita dan keusahawanan kerana saya antara pemberi cadangan tersebut terutamanya pembentukan satu majlis wanita di setiap DUN, ia penting dalam mempergiatkan lagi penglibatan wanita dalam pengurusan MPKK,” katanya.
PH dan BN hari ini menawarkan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan, berteraskan lima tekad dengan 10 teras utama menggariskan 70 inisiatif mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum di negeri itu, sekali gus menjana peluang dalam memacu pembangunan negeri dan menyejahterakan rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
-Bernama