mk-logo
Berita
'Kerajaan tak boleh nafi pembangunan DUN dimenangi calon bebas'
Diterbitkan:  Aug 6, 2023 3:46 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Kerajaan tidak boleh menafikan pembangunan ke atas mana-mana kawasan meskipun ia dimenangi calon Bebas, kata calon Bebas DUN Ampangan, Mohamad Rafie Malek.

Justeru, Mohamad Rafie berkata agak malang apabila menteri besar sementara Negeri Sembilan Aminuddin Harun seperti tidak memahami bahawa keupayaan membawa kemajuan juga bergantung kepada ketokohan pemimpinnya.

"Pemimpin yang berwibawa mampu mengurus dan membawa kemajuan walaupun 'sorang-sorang' kerana kemahiran mengurus serta komitmen untuk membangunkan rakyat menjadi asas tanggungjawab menjalankan amanah yang diberi.

"Dalam masa sama, rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan ditakut-takutkan dengan istilah 'sorang-sorang' kerana kesemua eksekutif, baik perdana menteri, menteri besar, menteri mahupun exco tiada hak untuk menafikan pembangunan di kawasan yang tidak diwakili oleh wakil rakyat dari parti pemerintah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Rafie adalah penyandang DUN Ampangan dan beka Exco. Dia mengambil keputusan untuk bertanding bebas selepas PKR tidak mencalonkannya dalam PRN kali ini.

Semalam, Aminuddin tidak menafikan sumbangan Mohamad Rafie dalam membawa pembangunan sebelum ini, namun menegaskan ia memang sudah menjadi tugasnya selaku Adun dan Exco.

Dia juga berkata sukar untuk Mohamad Rafie meneruskan tanggungjawab itu selepas ini jika dia mempertahankan kerusinya sebagai wakil rakyat bebas.

"Jasa (bekas wakil rakyat) kita tak nafikan...Tetapi bila tidak bersama kita, bagaimana nak bangunkan (kawasan) selepas ini (untuk) teruskan kesinambungan di kawasan Ampangan..

"Itu tak mampu buat sorang-sorang," katanya ketika ceramah di Ampangan, Seremban.

Mohamad Rafie turut membalas kritikan Aminuddin dengan mendakwa dia gagal membawa pembangunan yang ketara di Sikamat walau setelah tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ.

"Ianya amat berbeza dengan kawasan DUN Ampangan di bawah Mohamad Rafie, walaupun baru diurus dalam tempoh satu penggal tetapi pelbagai kemajuan telah berjaya dibawa dan penyelenggaraan juga berada dalam tahap yang dibanggakan," dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS