Penyandang kerusi DUN Machang Bubuk dari PH, Lee Khai Loon dilaporkan pengsan di pusat khidmatnya, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini, selepas pulang daripada program kempen di situ kira-kira jam 11 pagi tadi.
Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata keadaan Lee bagaimanapun stabil dan kini berehat di rumahnya.
“Khai Loon mungkin keletihan akibat cuaca panas pagi ini, namun dia telah sedar seketika tadi dan dalam keadaan stabil sekarang, tiada apa-apa (penyakit) yang serius dengan Khai Loon...dia tidak dihantar ke hospital dan berehat di rumahnya hari ini.
"Dia memang seorang yang kuat bekerja dan saya difahamkan sejak memulakan kempen pada 29 Julai lepas, dia turun padang untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan Machang Bubuk," katanya seperti dipetik Bernama.
Sementara itu, dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya, Lee akan tetap hadir ke majlis makan malam bagi meraih dana yang dijadual bermula jam 7.30 malam ini di Permatang Tinggi.
Menurut kenyataan itu, selain program kempennya sendiri, Lee turut menyertai kempen bagi membantu calon PKR di kawasan lain.
"Sejak minggu lepas, Lee mula bekerja dan berada di pejabat seawal jam enam pagi dan hanya menamatkan harinya pada jam satu pagi hampir setiap hari. Kepadatan jadual menyebabkan dia selalu terlepas waktu makan sehingga beliau pitam petang tadi.
"Pasukan kami telah menasihatkannya agar berehat untuk pulih, tetapi dia bertegas untuk menghadiri majlis makan malam pengumpulan dana pada 7.30 malam ini...dia akan melayan segala soalan pada majlis malam ini," kata kenyataan itu lagi.
Lee menjadi Adun Machang Bubuk sejak 2013. Dalam PRN kali ini, dia akan berdepan dengan calon PN Tan Hum Wei.