Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Sebagai YB, tanggungjawab Mohammad Rafie bawa pembangunan

Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun tidak menafikan sumbangan calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Mohamad Rafie Ab Malek dalam membawa pembangunan ke negeri itu.

Bagaimanapun katanya, ia merupakan tanggungjawab Moahmad Rafie selaku ahli dewan undangan negeri (Adun) dan exco kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan dan negeri.

Malah katanya, Adun Ampangan terdahulu juga turut memberi sumbangan kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

"Jasa (bekas wakil rakyat) kita tak nafikan. Ada pemimpin berjasa, Tok Abu (bekas wakil rakyat) berjasa di Ampangan, banyak Tok Abu bawa (pembangunan).

"Begitu juga pemimpin selepas itu Dr (Mohamad) Rafie Malek banyak dia bawa, tak dinafikan itu tanggungjawab, itu jasa kita tak boleh lupa, sebagai pemimpin tanggungjawabnya membangunkan kawasan.

"Tetapi bila tidak bersama kita, bagaimana nak bangunkan (kawasan) selepas ini (untuk) teruskan kesinambungan di kawasan Ampangan..

"Itu tak mampu buat sorang-sorang," katanya ketika ceramah di Ampangan, Seremban, malam tadi.

Kelmarin, Mohamad Rafie yang kini bertanding atas tiket Bebas mendakwa dia dan pasukannya yang membawa masuk pelaburan ke Negeri Sembilan, bukannya Aminuddin Harun.

Jelasnya, pencapaian yang dibanggakan oleh kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin itu adalah hasil usaha kerasnya bersama pasukan menarik pelaburan ke negeri itu.

Bekas exco pelaburan, industri, keusahawanan, pendidikan dan modal insan itu berkata, dia sedia berdebat dengan Aminuddin jika ingin menafikannya.

"Saya yakin mereka tak berani lawan saya, kalau lawan lagi banyak cerita saya buka.

"Sebab saya pengasas parti (PKR), dalam parti pun saya tahu, kerajaan negeri pun saya tahu apa masalahnya, jadi sebab itu kalau dia berani nak lawan...lawanlah," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pembangunan di sesebuah kawasan tidak boleh dilakukan secara sendirian.

Oleh itu katanya, penting untuk rakyat memilih wakil rakyat yang sealiran dengan kerajaan bagi memastikan mereka tidak terpinggir.

"(Pembangunan) ini boleh dilakukan dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang sama.

"Kita tak boleh buat sorang-sorang. Kalau saya pun, saya tak mampu buat sorang-sorang. Itu kenyataan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS