Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan dia dipanggil polis untuk disoal siasat petang tadi.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini menerusi Whatsapp berhubung dakwaan itu, Sanusi hanya membalas "Tak ada".

Penafian itu di tengah beberapa media melaporkan sebaliknya, termasuk satu laporan yang memetik sumber dalaman polis.

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan pengerusi PN Kedah itu dipercayai dipanggil polis petang tadi.

Ia selepas dia tidak hadir ke program "Sembang Santai" di Taman Serai Wangi di Pedang Serai, pada jam lima petang.

Wakil jawatankuasa pengelola PN memberitahu hadirin bahawa Sanusi tidak dapat hadir ekoran "masalah keselamatan yang serius".

“Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Dia sebenarnya telah datang separuh jalan tetapi disebabkan isu lebih berat, lebih serius maka dia tidak dapat hadir bersama kita. 

“Insya-Allah…dia janji utk datang pada hari lain,” katanya.

Difahamkan Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nazrudin yang ada di situ memberitahu media yang Sanusi dipanggil polis untuk soal siasat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azman berkata dia tiada maklumat lanjut berkenaan perkara itu.

"Itu sahaja maklumat yang saya dapat (Sanusi dipanggil polis). Lain-lain tiada,” katanya.

Sementara itu, Astro Awani memetik sumber sebagai mendakwa Sanusi ditahan oleh anggota polis dari Bukit Aman.

Bagaimanapun, polis menafikan laporan Astro Awani itu, menjelaskan tiada pegawai dari Bukit Aman mahupun polis kontinjen Kedah telah memanggil atau menahan Sanusi.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman Skandaguru Anandan, pada satu kenyataan malam ini berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan berhubung penyebaran berita palsu itu.

“Tindakan menyiarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam senario kempen PRN yang sedang berlangsung,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Sanusi ditahan pada jam tiga pagi dan dihadapkan dengan dua pertuduhan menghasut berkaitan ceramah yang diberikannya pada 11 Julai.

Dia mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS