Peguam dan aktivis Haris Ibrahim, 63, menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi selepas bertarung dengan kanser paru-paru tahap empat.
Mengesahkan berita kematian itu, peguam Ashok Kandiah berkata allahyarham meninggal dunia di rumah di Taman Tun Dr Ismail yang didiami bersama abangnya, Adam Ibrahim.
"Ya dia meninggal dunia tengah hari tadi.
"Pengebumian kemungkinan akan diadakan petang ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara," kata Ashok.
Haris kembali menjadi seorang peguam, meskipun bertarung dengan kanser paru-paru tahap 4, kerana ingin membawa mesej bahawa Malaysia sebagai sebuah negara sekular.
Sepanjang tempoh 10 tahun terakhir sebagai pengamal undang-undang, sehingga 2010, Haris banyak terlibat dalam kes membabitkan kebebasan beragama dan bidang kuasa mahkamah sivil dan Syariah.
Selain itu, Allahyarham juga menubuhkan gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) kerana merasakan perlunya "kuasa ketiga" dalam politik Malaysia.
Sementara itu, kakak ipar Allahyarham, Firoza Burhan dipetik The Star sebagai berkata arwah menghembuskan nafas terakhir dengan keadaan tenang.
"Dia menarik nafas beberapa kali dan pergi," katanya.
Haris meninggalkan seorang anak lelaki berusia 28 tahun dan seorang anak perempuan berusia 18 tahun.