Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen Mohamad Hasan di Rantau lancar meski cuti sakit

Kempen BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak terjejas meskipun calonnya, Mohamad Hasan masih lagi cuti sakit kerana disahkan dijangkiti influenza.

Menurut jentera BN Rantau yang ditemui Malaysiakini hari ini, kempen bagi timbalan presiden Umno itu tetap berjalan meskipun Mohamad kini sedang menjalani "kuarantin".

"Kempen berjalan dengan lancar setakat ini walaupun Tok Mat (Mohamad) tidak dapat bersemuka dan pengundi memahami situasi itu.

"Jentera kempen tetap bergerak seperti mana dirancang," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Tinjauan Malaysiakini hari ini juga mendapati MCA turut turun berkempen untuk ahli Parlimen Rembau itu di Rantau.

Malah, Presiden MCA, Wee Ka Siong dilihat turun padang untuk berkempen bersama jentera BN di Rantau.

Pada satu majlis makan malam di sebuah restoran di pekan Rantau malam tadi, Wee bertemu masyarakat Tionghua bagi merayu sokongan kepada calon BN itu.

Semalam, Mohamad yang juga timbalan pengerusi BN dijangkiti virus influenza dan diarahkan oleh doktornya untuk berehat dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Menerusi satu hantaran video di laman Facebooknya, Mohamad, yang juga calon dan penyandang kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, turut memohon maaf kepada pengundi dan jentera parti BN kerana tidak dapat menyertai kempen selama tempoh itu.

“Saya minta maaf banyak-banyak kerana saya down dengan influenza...saya batuk teruk dan demam.

"Doktor telah pesan kepada saya berehat dan jangan keluar, takut berjangkit,” kata menteri pertahanan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS