Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya bawa masuk pelaburan ke N Sembilan, bukan Aminuddin'

Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa dia dan pasukannya yang membawa masuk pelaburan ke Negeri Sembilan, bukannya menteri besar sementara, Aminuddin Harun.

Jelasnya, pencapaian yang dibanggakan oleh kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin itu adalah hasil usaha kerasnya bersama pasukan menarik pelaburan ke negeri itu.

Bekas exco pelaburan, industri, keusahawanan, pendidikan dan modal insan itu berkata, dia sedia berdebat dengan Aminuddin jika ingin menafikannya.

"Saya yakin mereka tak berani lawan saya, kalau lawan lagi banyak cerita saya buka.

"Sebab saya pengasas parti (PKR), dalam parti pun saya tahu, kerajaan negeri pun saya tahu apa masalahnya, jadi sebab itu kalau dia berani nak lawan...lawanlah.

"Ada penganalisis (berdasarkan laporan media) bagi tahu tentang kejayaan Aminuddin, bukan Aminuddin yang buat, saya boleh hujah panggil berdebat dengan saya, dia ke yang buat.

"Pelaburan di Negeri Sembilan dia buat atau saya buat, itu yang nak berdebat dengan dia," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Seremban, hari ini.

Pada 29 Jul lalu, Aminuddin yang juga naib presiden PKR berkata keahlian Mohamad Rafie dalam PKR tergugur secara automatik, susulan tindakannya menjadi calon bebas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempertahankan kerusi Ampangan.

Selain itu Aminuddin berkata, ahli-ahli parti yang menyokong tindakan bekas timbalan ketua cabang PKR Seremban itu juga akan dikenakan tindakan.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata pelaburan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang ketara disebabkan usaha kerasnya dengan pasukannya.

Katanya, banyak kejayaan membanggakan telah dicapai sepanjang dia memegang jawatan exco negeri.

Aminuddin Harun

Sedia kerjasama dengan pihak lain

Namun katanya, amat malang apabila PKR menyingkirkannya daripada mempertahankan kerusi berkenaan setelah sekian lama bersama parti itu.

Malah, Mohamad Rafie menganggap dia telah dianiyayai PKR apabila tidak dicalonkan dalam PRN kali ini.

Mengulas mengenai penyingkirannya, Mohamad Rafie berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri memaklumkan kepadanya bahawa Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Aminuddin tidak mahukannya dicalonkan bagi kerusi berkenaan.

"Anwar hubungi saya...bagi tahu Rafizi tak nak you (saya), Aminuddin tak nak you, saya kata you are president (anda presiden parti).

"(Tapi) Anwar kata susahlah (untuk buat keputusan)... Ini kali kedua saya kena, 2013 saya kena benda yang sama. Saya sepatutnya bertanding tapi digugurkan pada saat akhir," katanya lagi.

Mengulas mengenai kerjasama dengan parti politik jika menang dalam PRN 12 Ogos nanti atas tiket bebas, Mohamad Rafie berkata dia terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun ia akan diputuskan selepas berjaya memenangi kerusi berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS