Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Felda kekal bawah JPM hingga semua masalah pokok selesai'

Felda akan terus berada di bawah Jabatan Perdana Menteri hingga semua masalah pokok berkaitan agensi itu dan peneroka selesai.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia sendiri akan memantau Felda dan selepas semua masalah, termasuk yang dihadapi peneroka, diselesaikan baharulah agensi itu diserahkan kepada kementerian lain.

La ni Felda di bawah perdana menteri, sebabnya kerana masalah banyak dan saya tak mahu ambil sikit-sikit untuk selesaikan.

“Saya dah bagi mandat penuh kepada pengerusi Felda yang baru (Ahmad Shabery Cheek) kerana saya tahu dia ada keupayaan dan dia serius nak selesaikan masalah ini.

“…dan saya beritahu dia, saya kata jalan saja, kalau ada masalah bagitahu saya dan insya-Allah, saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur di Sik, Kedah hari ini.

Perdana menteri berkata Felda mempunyai sejarah tersendiri dan masalah utama yang dihadapi agensi itu perlu diselesaikan.

Anwar juga berkata memandangkan sistem dalam negara ini memerlukan sokongan rakyat maka dia berharap warga Felda khususnya peneroka generasi pertama hingga ketiga menunjukkan komitmen yang baik.

“...kerana saya sedaya upaya saya dalam masa yang singkat ini telah cuba sebanyak mungkin. Tak ada siapa boleh kritik, boleh nafikan dalam lapan bulan selain RM8.3 bilion (pelupusan hutang peneroka Felda), soal Internet, soal pusat dialisis, soal baik pulih sekolah daif dan lampu jalan (dilaksanakan).

"...berpuluh tahun (masalah ini), kita selesaikan baru berapa bulan? Lapan bulan, bayangkan kalau kita boleh pegang lima tahun,” katanya.

Pada akhir Jun lepas, Anwar menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion dan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan tanah rancangan itu selain pembinaan 12 pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda.

Turut hadir pada karnival itu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahmad Shabery.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS