Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LGM: Harga getah ditentukan pasaran, laksana inisiatif bantu penoreh
Diterbitkan:  Aug 4, 2023 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjelaskan pihaknya tiada kuasa untuk menetapkan harga getah namun pada masa telah melaksanakan inisiatif agar pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik.

Mengambil maklum berkenaan harga getah yang rendah pada masa ini, LGM berkata sama seperti komoditi lain, ia bergantung kepda penawaran dan permintaan antarabangsa dan di luar kawalan kerajaan.

"Malahan Thailand sebagai pengeluar utama getah dunia juga tidak dapat menentukan harga kerana harga ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran dunia.

"Malaysia pada masa sekarang hanya mengeluarkan 3 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia dan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan harga," kata LGM dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Malaysiakini bertemu dengan beberapa penoreh getah di Sik, Kedah yang mengeluh berkenaan penurunan harga lantai getah sekerap.

Dengan harga semasa RM2.25 sekilogram, mereka memperoleh kira-kira RM1.15 bagi setiap kilogram getah sekerap yang mereka hasilkan.

Mengulas keluhan itu, Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri tiada kawalan terhadap harga getah sekerap, sebaliknya ia ditentukan oleh LGM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Kerajaan negeri tidak mengendalikan harga tetapi pasaran. Ini bermakna (perlu) menukar kerajaan pusat dan perdana menteri (Anwar Ibrahim) untuk menaikkan harga (getah),” katanya.

Bagaimanapun, harga rujukan getah fizikal (free on board) yang disediakan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanyalah sekadar untuk rujukan sahaja. Harga dagangan sebenar adalah tertakluk kepada rundingan di antara pembeli dan penjual.

Bantuan kepada pekebun kecil

LGM berkata inisiatif untuk membantu pekebun kecil getah adalah menerusi Insentif Pengeluaran Getah, melibatkan agihan kepada 217,090 pekebun sejak September 2015 hingga Julai lalu, melibatkan dana RM471 juta.

"Terkini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG bagi getah sekerap (cuplump) sebanyak 20 sen sekilogram daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan kelulusan peruntukan berjumlah RM350 juta.

"Mengambil kira pendapatan pekebun kecil yang terjejas dengan situasi harga getah yang rendah, kerajaan sedang memuktamadkan penambahbaikan mekanisma IPG yang lebih inklusif dan bersasar khususnya untuk meningkatkan produktiviti pekebun kecil getah," kata LGM.

Selain itu, LGM berkata pihaknya melaksanakan inisiatif jualan getah secara tender dalam talian (MyROL) dan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (Target).

MyROL bertujuan memendekkan rantaian pemasaran bagi menangani isu orang tengah manakala Target menggunakan konsep koperasi melibatkan pekebun kecil dan pengusaha ladang.

"Program ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil," kata LGM lagi.

Bagi pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat hujan, LGM berkata Risda melaksanakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dengan Belanjawan 2023 memperuntukkan agihan sebanyak RM800 kepada mereka yang terlibat.

"Kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif atau projek-projek berimpak tinggi yang sedia atau berpotensi dilaksanakan khususnya dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah," kata LGM lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS