Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya wanita tulen, kata Hisham Suhaily 
Diterbitkan:  Aug 4, 2023 3:18 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Hisham bukan nama yang biasa digunakan oleh orang perempuan.

Di Langkawi, seorang calon BN berdepan kekeliruan itu kerana bernama Hisham Suhaily Othman.

Di tengah-tengah kehangatan berkempen menjelang pilihan raya negeri hujung minggu depan, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat itu tampil menjelaskannya.

"Saya bukan lelaki tetapi wanita tulen," Hisham Suhaily, 46, dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.

Mengulas perkata itu, dia bagaimanapun berkata selesa dengan nama itu sejak kecil kerana ia adalah anugerah arwah ibu bapanya.

Bagaimanapun, katanya, akan ada kekeliruan jika orang ramai tidak melihat wajahnya.

"Perkara ini terjadi kerana arwah bapa saya mahu meletakkan nama Hisham pada pangkal nama setiap anaknya," dia dipetik sebagai berkata dalam program sarapan bersama orang ramai di Taman Nilam, Langkawi.

Dia juga mendedahkan, asalnya namanya dieja satu perkataan sebagai “Hishamsuhaily” tetapi ia dipisahkan kepada dua perkataan ketika membuat pengenalan.

Hisham Suhaily ditentang oleh Shamsilah Siru daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas, Safwan Hanif Shafie serta Zulfadli Mohd Yusof.

Dalam pilihan raya umum lalu, Bersatu merampas kerusi BN itu dengan majoriti tipis lebih kurang 1,500 undi.

Ketika itu berlaku persaingan tiga penjuru antara kedua-dua parti itu dan PAS.

Seperti kebanyakan kerusi lain di Kedah, Ayer Hangat juga mempunyai majoriti besar pengundi Melayu iaitu 95 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS