Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Saya harap tidak ada permohonan maaf ketiga daripada PAS’
Diterbitkan:  Aug 4, 2023 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Seorang pemimpin Gerakan Pulau Pinang mengalu-alukan permohonan maaf PAS kepada parti rakannya dalam gabungan PN berikutan insiden presidennya Dominic Lau dihalang dan dihalau dari majlis ceramah di Tasek Gelugor, Rabu lalu.

Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong, H'ng Khoon Leng dalam satu kenyataan berkata dia turut berharap agar kejadian serupa tidak berulang.

“Ini kali kedua PAS memohon maaf kepada Gerakan. Kali pertama secara dalaman atas sebab yang hampir serupa.

H'ng Khoon Leng

“Setahu saya, PAS tidak pernah memohon maaf kepada parti lain sebelum ini. Pimpinan parti perlu membuat semakan selepas pilihan raya negeri bagi menyelesaikan masalah disiplin ini.

"Dan saya harap tidak akan ada permohonan maaf ketiga," kata H'ng, yang juga calon PN bagi kerusi DUN Padang Kota.

Menurutnya, pendekatan “rendah hati dan diplomatik” pemimpin Gerakan untuk mencapai matlamat politik parti tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan yang boleh dipijak.

"Kami mahukan keputusan untuk rakyat Malaysia, bukan pertengkaran antara satu sama lain mengenai peruntukan kerusi, mengenai perbezaan pendapat mengenai isu asas, dan mengenai perbezaan ideologi."

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengemukakan permohonan maaf kepada parti rakannya itu.

Dalam kenyataan lewat malam tadi Takiyuddin berkata Lau sepatutnya disambut baik dan diberikan penghargaan sebagai tetamu parti sesuai dengan akhlak Islam.

Rasa tidak puas hati PAS Pulau Pinang terhadap Lau bermula sejak menjelang hari penamaan calon apabila namanya dikaitkan dengan beberapa kerusi DUN yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Malah, sebelum hari penamaan calon, ada di kalangan ahli PAS Bayan Lepas yang mengugut untuk memboikotnya.

Bagaimanapun akhirnya kepemimpinan tertinggi PN tetap meletakkan Lau di kerusi yang disebut-sebut sepatutnya ditandingi Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim.

Rasa tidak puas hati itu memuncak apabila Lau dihalau dari menghampiri pentas ceramah di Tasek Gelugor pada Rabu lalu walaupun sebelum itu dia ditemani Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Iszuree sendiri 'menghalau' Lau dari situ atas alasan dia tidak diundang.

Walaupun begitu Lau meredakan keadaan dengan menganggap dia sebenarnya tidak dihalau oleh PAS negeri terbabit sebaliknya hanya kesilapan teknikal apabila dia mahu bertemu serta berbincang dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS