Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kontroversi, PH cekap tadbir Negeri Sembilan - Penganalisis

Kecekapan kerajaan PH mentadbir Negeri Sembilan terbukti apabila 97 peratus manifestonya dilaksanakan seperti dijanjikan lima tahun lepas sekali gus menunjukkan keseriusan kerajaan negeri mengutamakan amanah diberikan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata walaupun pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun berdepan cabaran termasuk ketidaktentuan politik di peringkat pusat dan pandemik Covid-19 dalam tempoh itu namun pentadbirannya tetap berjalan lancar tanpa cetusan kontroversi.

“Petunjuk prestasi utama (KPI) manifesto 2018, hampir 95 hingga 97 peratus dicapai, dalam konteks ini kreditnya A iaitu cemerlang dalam memacu Negeri Sembilan.

"Kalau pengundi rasa itulah yang terbaik bagi mereka, tiada sebab untuk rakyat memilih lain pada pilihan raya negeri ini," katanya kepada Bernama.

Mohd Azmir berkata Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR serta penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat merupakan pemimpin diplomasi dalam pentadbirannya bersama DAP dan Amanah.

Antara kejayaan manifesto PRU ke-14, katanya, ialah sebanyak 27,688 unit rumah mampu milik dibina melalui inisiatif Program Rumah Harapan Rakyat Negeri Sembilan, hasil negeri meningkat dalam tempoh lima tahun iaitu RM566 juta pada 2021 menjadi RM522 juta pada 2022, pelaburan mencecah RM9 bilion tahun lepas dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Felow Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berpandangan Aminuddin membuktikan kredibiltinya menerajui Negeri Sembilan dengan pencapaian pelaburan tinggi serta inisiatif ekonomi memanfaatkan rakyat.

“Aminuddin bukan sahaja ada majoriti yang cukup untuk mempertahankan Negeri Sembilan, tetapi kepimpinannya tidak menimbulkan sebarang perubahan drastik dari segi pentadbiran negeri dan dapat menerajui dengan baik bersama parti lain Amanah dan DAP,” katanya.

Mujibu berkata rakyat di negeri tersebut pasti mahu melihat perancangan Kerajaan Perpaduan untuk Negeri Sembilan menuju status negeri maju selepas melihat limpahan ekonomi serta keyakinan pelabur dalam manifesto gabungan PH dan Barisan Nasional yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Dia berkata melihat pada prestasi ekonomi membanggakan, kerajaan negeri memerlukan lonjakan infrastruktur yang tepat dari sudut jaringan pengangkutan.

“Sebagai rakyat yang tinggal di negeri ini, saya mahu melihat apakah seterusnya bagi Negeri Sembilan.

"Sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan kepada status negeri maju, kalau dilihat limpahan ekonomi ini disebabkan pembangunan yang pesat, potensi jadi negeri maju itu besar,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS