Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH nak rampas kembali kerusi 'katak lompat' di Kedah

Pekan Sidam dan Lunas terletak di bahagian selatan Kedah, dikelilingi kawasan pedesaan dengan pemandangan bendang padi dan ladang kelapa sawit.

Kawasan ini mempunyai sejarah panjang pengundian menyokong PKR sejak 2008.

Bagaimanapun, penguasaan parti gabungan PH di dua kerusi ini berakhir pada 2020 apabila penyandangnya Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling - kedua-duanya melompat ke Bersatu, berikutan Langkah Sheraton.

Kedua-dua penyandang itu tidak mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya negeri ini, tetapi PKR bertekad untuk merampas semula Sidam dan Lunas.

Bekas Adun PKR yang menyertai Bersatu, Azman Nasrudin.

Bagaimanapun, usaha gigih mereka mungkin hanya melihat mereka menawan satu dari dua kerusi yang ditandingi parti itu.

PH mempunyai peluang terbaik di Sidam, dengan calonnnya Bau Wong Bau Ek bertanding satu lawan satu menentang Juliana Abdul Ghani daripada PN.

Bercakap kepada Malaysiakini, calon PH Bau Wong (gambar, bawah) menyatakan keyakinannya PKR mampu meraih lebih 50 peratus undi keseluruhan.

"Saya confident untuk rampas Sidam untuk PKR, selepas penyandang lompat parti dan kita terlepas kerusi ini kepada PN.

"Sekarang kita perlu rampas kerusi ini semula,” katanya.

Berbaki tujuh hari kempen, Bau Wong berkata dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati lebih ramai pengundi Melayu melalui perjumpaan di TikTok dan Zoom.

Bagi seorang pengundi warga emas Sidam yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Wong, PN masih belum membuat sebarang langkah positif dalam memperkukuh ekonomi negeri.

“(Menteri besar sementara Kedah Muhammad) Sanusi (Md Nor) tak ada buat apa-apa. Apa yang PAS buat cuma nak kawal hidup orang ramai.

Tiada pilihan selain undi PH

“Ini bukan saja tentang mengharamkan perjudian (di Kedah) tetapi juga mereka mahu mengawal aktiviti hiburan orang bukan Islam.

“Masyarakat Cina memerlukan ekonomi yang baik dan persekitaran perniagaan yang baik untuk terus hidup tetapi dengan kawalan macam ni, ia akan menjadi sukar bagi kami,” kata juruelektrik berusia 70 tahun itu kepada Malaysiakini.

Berdasarkan pengalaman hidup di bawah pentadbiran PN sejak tiga tahun lalu, Uncle Wong berkata orang Cina tiada pilihan selain mengundi PH kali ini.

“Orang Cina di sini tidak ada pilihan, kami tidak akan mengundi PAS atau PN.

“Walaupun Bau Wong berketurunan Siam, kami akan mengundinya.

“Kami takut Kedah akan menjadi seperti Kelantan atau Terengganu, ‘negara Islam’ yang konservatif,” dakwanya.

Pemilik kedai peralatan sukan Kua Lee Huat (gambar, bawah) pula merungut bahawa PN hanya pandai bercakap berkata gabungan itu tidak dapat meningkatkan taraf ekonomi negeri dan mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“PN tidak ada keupayaan untuk itu. Lihat sahaja perbincangan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

“Sudah bertahun-tahun Sanusi sembang pasal perkara itu tetapi Kedah masih belum mendapat kelulusan untuk membinanya.

“Saya ada sebidang tanah di kawasan itu. Kerajaan negeri sudah lama mengatakan nak bangunkan kawasan itu.

“Tapi masih belum ada apa-apa lagi,” keluh lelaki berusia 63 tahun itu.

'Benci lompat parti'

Sementara itu, masyarakat India di Scarboro meluahkan 'luka' dikhianati selepas penyandang kerusi DUN itu Ling berpaling tadah daripada PKR masih belum sembuh, walaupun sudah tiga tahun berlalu.

Madhaven Letchumanan (gambar, bawah) yang ditemui Malaysiakini menempelak tindakan Ling itu.

"Itu dia kerja bodoh lah boleh cakap. Sebab orang undi sama dia. Dia bukan nak tolong rakyat, dia nak jaga diri sendiri sahaja.

"Rasa susah hati lah. Sebab kita orang undi sama dia untuk boleh bantu ke apa. Tapi dia orang kira dia orang sahaja. Dia lompat ikut suka hati. Orang sudah benci lah. Lompat-lompat ni orang semua benci lah,” katanya.

Pengusaha makanan berusia 52 tahun itu berkata dia akan mengundi calon PH Bau Wong pada pilihan raya ini.

Dia juga berharap PH dan BN dapat menawan Kedah, supaya kerajaan negeri dan persekutuan dapat selaras, demi kepentingan rakyat.

Seperti Madhaven, Yathavan Subramaniam (gambar, bawah) tidak teragak-agak untuk menyebut nama Bau Wong apabila ditanya siapa yang akan dia undi nanti.

"Kita mesti mau Bau Wong lah. Dia selalu ada turun padang kejap memang. Memang bantu orang lah. Bau Wong jadi okay lah.

“Dia akan tolong rakyat lah. Dia akan tengok, turun padang kerja dan kerja,” kata mekanik berusia 43 tahun itu.

Pun begitu, sentimen yang sama tidak dikongsi oleh sepuluh pengundi Melayu di Sidam yang ditemui Malaysiakini.

Penjual cakoi Zulkafali Atan, 46 tahun (gambar, bawah) berkata calon PN Juliana telah lama bekerja di kawasan itu dan sentiasa kelihatan di Puteri Jaya, membantu peniaga gerai tepi jalan.

"Puan Juliana turun. Betul. Dia nak tolong, dia kata okay tak apa-apa boleh meniaga macam biasa. Dia nak tolong macam tu.

"Janji depa (calon DUN) pun boleh dengar masalah rakyat ni," katanya.

Sementara itu, seorang penjual nasi ayam berempah yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Anjang, 43 (gambar, bawah) berkata dia akan mengundi PN.

Katanya, Anwar masih belum dapat menangani kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga bahan mentah.

"Harapan kami turunkan harga barang sebab kami sangat-sangat berharap lah. Sebab tak untungkan, bila kita beli barang mahal.

"Saya pun harap sangat untuk memajukan tolonglah perniaga-perniagaan. Turunkan harga barang, terutama beras, ayam, tepung, gula," katanya.

Walaupun maklum balas daripada tinjauan pendapat Malaysiakini mencadangkan polarisasi kaum namun ia lebih daripada sekadar itu.

Kedua-dua Sidam dan Lunas mempunyai demografi pengundian yang sama, dengan nisbah pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir 50:50.

Bagaimanapun, pada tahun lepas kecenderungan undi di dua kawasan ini sangat berbeza.

Di Sidam - sebahagian dari kerusi parlimen Sungai Petani - 51 peratus pengundi memilih PH, 16 peratus untuk BN, dan 33 peratus untuk PN.

Sementara itu, di Lunas - yang merupakan sebahagian kerusi parlimen Padang Serai - 49 peratus pengundi memilih PN, 48 peratus PH dan 3 peratus untuk BN.

Pilihan raya Padang Serai diadakan hampir tiga minggu selepas PRU15 - ditangguhkan selepas calon asal PH, M Karupaiya (gambar, bawah) meninggal dunia.

Pilihan raya itu juga diadakan selepas PH dan BN bergabung untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi sebelum kedua-duanya memutuskan untuk bekerjasama dalam pilihan raya.

Pertarungan di kerusi DUN Lunas adalah yang paling "sesak" di negeri utara dengan lima calon bertanding.

Calon PN Khairul Anuar Ramli akan berdepan calon PH Shamsul Anuar Abdullah dan tiga calon bebas.

Ditambah tahap sokongan yang hampir sama untuk PH-BN dan PN, maka pertandingan untuk Lunas boleh menjadi sengit dan mungkin ditentukan oleh faktor seperti kadar keluar mengundi dan sentimen pengundi baru yang didaftarkan selepas PRU15 dan jika terdapat perubahan hayunan sokongan.

"Pesona" Sanusi di Lunas

Bagi PN, satu faktor besar untuk mereka di Lunas ialah kehadiran kuat PAS dan Bersatu.

Nur Shahida Mohd Sabri, 24 tahun (gambar, bawah) berkata mengundi PN merupakan pilihan keluarganya.

"Masa PRU15, saya undi untuk PN. Mak bapa juga undi untuk PN. Jadi kali ini pun, saya undi PN,” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi pengundi muda, Siti Maisarah Abdul, 23, juga berkata undinya banyak dipengaruhi oleh keluarga dan rakan-rakan yang merupakan penyokong PN.

"Saya tak ambil tahu sangat pasal hal (politik) ni, tapi saya lebih kepada nak undi kepada PN.

“Bagi saya, saya rasa kebanyakan orang bawa bendera PN. Jadi anak muda kebanyakannya akan pilih PN.

“Kebanyakan orang di sini sokong Pn, jadi saya terikut jugak,” kata Siti (gambar, bawah) yang bekerja di kedai runcit.

Sementara itu, faktor lain yang dikatakan mendorong sokongan kepada PN, ialah populariti menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketika ditemui di sebuah gerai, Md Yusni Md Razli, 48 (gambar, bawah) berkata dia melihat Sanusi sebagai idola yang berani bersuara.

Ketika membandingkan antara Anwar dan Sanusi, Yusni, yang berniaga gerai, berkata dia lebih sukakan Sanusi kerana pengerusi PN Kedah itu dibesarkan dalam keluarga miskin tegar dan memahami perjuangan rakyat.

"(Sanusi) loqlaq? Tak. Itu memang orang Kedah, Kedah memang lagu itu. Itu biasa dah. Itu cara orang cakap. Nak undi untuk PN sebab MB Sanusi.

"Apa yang Anwar tau? Dah jadi perdana menteri kesepuluh untuk lapan bulan tapi dia tak mahu jaga rakyat.

“Apa pun tak turun, harga naik. Kita peniaga, kita rasa.

"Plastik naik, straw naik, semua naik. Kita nak naik harga tak boleh, kalau naik harga, orang tak singgah dah,” katanya.

Anak lelaki Yusni, Mohd Zulhisham (gambar, bawah) pantas menyampuk, memberitahu pendapatnya, memberikan Sanusi penarafan "A+" kerana menjadi "pemimpin rakyat".

"MB Kedah Sanusi dia boleh pakai. Dia turun mai tengok orang kampung.

“Parti lain mana ada turun? Masa banjir pun tak turun, PN mai tengok,” katanya.

Selagi PAS berada di landasan yang betul dalam mempertahankan Islam, Zulhisham menegaskan dia dan bapanya akan tetap istiqamah bersama parti itu dan siapa pun calon yang diletakkan mewakili PN.

"Tak kira nama siapa, calon mana, tetap pilih PN,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Seorang lagi pengundi yang berkata akan memilih PN kerana Sanusi ialah Rosli Abdul (gambar, atas).

Penternak kambing berusi 47 tahun itu, memandang tinggi menteri besar Kedah itu walaupun dia kesal dengan tingkah laku calon PN Lunas Khairul Anuar berhubung video dia menolak seorang lelaki.

"Itu bukan cara seorang pemimpin. Kita nak pemimpin yang ikhlas. Bila rakyat dah lantik, hang naik satu hari dah menang. Sikap sombong.

"Kita nak calon yang best, calon yang tak ada masalah dengan ni.

Calon PN Lunas Khairul Anuar Ramli.

"Tapi sebab saya respect Sanusi, saya tak ada pilihan. Saya kena undi Khairul,” katanya.

Khairul Anwar mendakwa klip video tular itu dari tiga tahun lalu, dan menjelaskan tindakannya menolak lelaki itu kerana berkelakuan menghina.

Katanya, dia telah didakwa dan dibersihkan mahkamah daripada pertuduhan mendatangkan kecederaan.

Khairul Anwar berkata kini dia merancang untuk menyaman beberapa individu dan penerbitan media berhubung video tular itu.

Walaupun sokongan kepada PN mungkin kelihatan kukuh, calon PH Shamsul (gambar, atas) menyatakan keyakinan tentang peluangnya merampas kembali kerusi itu.

“Berdasarkan pemerhatian kami sekarang, kami masih mampu meraih 20 peratus undi Melayu, ditambah undi daripada masyarakat Cina.

“Ia bergantung kepada apa yang akan berlaku dalam beberapa hari akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Shamsul berkata dia tidak akan berputus asa dan akan terus merayu sokongan pengundi Melayu.

Menurutnya, perhatian tambahan akan diberikan dalam menyusun strategi untuk memenangi pengundi India di Lunas, berikutan kebimbangan mungkin undi terpecah antara PKR dan tiga calon bebas India.

Kedah keluar mengundi pada 12 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS