Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Megat kritik PN serah kerusi majoriti Melayu pada Gerakan

Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin hari ini membidas Perikatan Nasional (PN) berhubung dakwaan bahawa kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan Melayu dan Islam tertindas.

Sebaliknya, katanya, enam pilihan raya negeri (PRN) telah menunjukkan sebaliknya di mana PAS menyerahkan kerusi majoriti Melayunya kepada Gerakan.

Menurut Megat, PN telah memainkan taktik kotor dalam usaha mereka untuk menarik undi daripada penyokong Umno dengan menimbulkan ketakutan terhadap kerajaan perpaduan.

"Sebaliknya mereka yang terpaksa menyerahkan kerusi mereka, kerusi majoriti Melayu kepada Gerakan. Kita tahu apa yang berlaku di Bayan Lepas.

"Sedangkan di Selangor, DAP memberikan kerusi yang mereka menang (Dusun Tua) kepada Umno. Dan kita dapat lihat apa yang mereka (PN) katakan, berlaku pada diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Bolton di Gombak awal petang tadi.

Megat adalah calon BN bagi Gombak Setia.

Megat merujuk kepada perbalahan politik antara PAS dan Gerakan mengenai kerusi DUN Bayan Lepas di Pulau Pinang, yang menyaksikan Presiden Gerakan Dominic Lau didakwa dipulau oleh jentera PAS semasa ceramah semalam.

Megat mengkritik PAS dengan mendakwa ia bersikap biadap terhadap rakan sekutunya.

Walaupun tidak menyokong Gerakan, Megat berkata adalah tidak wajar bagi PAS untuk mengaibkan Lau secara terbuka.

"Parti yang buat ini adalah parti yang perjuangkan Islam yang telah memalukan tetamu yang datang di khalayak umum. Dah tentu ada masalah yang berlaku.

"Sedangkan dalam kerajaan perpaduan tidak berlaku. DAP tak ambil satu pun kerusi yang Umno tandingi.

"Kerusi yang mereka tandingi adalah kerusi yang memang mereka lawan. Tak pernah bertembung dengan Umno pun selama ni," katanya.

Sementara itu, berhubung perkara berkaitan, Megat turut menyeru penyokong Umno di negeri itu supaya tidak terpengaruh dengan Noh Omar, yang merupakan bekas ketua Umno Selangor yang kini berkempen untuk PN.

Noh Omar.

Dia mendakwa Noh hanya bekerja untuk PN sebagai balasan anak perempuannya diletakkan sebagai calon dalam PRN Selangor.

“Anaknya tak pegang apa jawatan pun (dalam Bersatu). Takkanlah tak ada seorang pun pemimpin Bersatu yang ada di Permatang tu yang layak bertanding.

"Itu saja sudah membuktikan yang apa Noh Omar buat hari ini adalah kepentingan dirinya dan keluarganya.

"Jadi kepada ahli Umno, orang Melayu, orang Islam, jangan tertipu dengan permainan politik yang kotor ini," katanya.

Megat merujuk kepada Nur Syazwani Noh, yang bertanding di kerusi DUN Permatang di Tanjong Karang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS