Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Infineon tambah pelaburan Euro 5 bilion selaras ekonomi Madani - PM
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Pengumuman pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) oleh Infineon Technologies AG (Infineon) selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang mensasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keyakinan syarikat semikonduktor global itu terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

"Saya mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang telah membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

“Pengumuman ini adalah lanjutan daripada perbincangan saya dengan pihak syarikat Dr Rutger Wijburg, Ketua Pegawai Operasi (Infineon) pada 24 Julai 2023," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Perdana Menteri mengulas berkaitan perkembangan terbaharu Infineon yang berhasrat meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan baharu tersebut untuk dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad yang lalu, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka.

"Ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik,” kata Anwar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS