Kami telah menerima satu permohonan melalui talian tip untuk menyemak kesahihan imej tular yang mendakwa bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan satu peringatan khas.
Dikatakan bahawa PDRM meingingatkan orang awam untuk berwaspada dengan kegiatan jenayah yang menggunakan taktik penjualan sabun dari rumah ke rumah.
Kononnya, mangsa akan disuruh untuk menghidu sabun basuh yang sebenarnya adalah sejenis dadah penenang yang boleh menyebabkan mangsa pengsan.
Kemudian, mangsa dikatakan akan dirompak, dirogol dan dibunuh.
Imej tular juga disertakan dengan gambar-gambar penjenayah yang dikatakan kini sedang aktif di Kuala Terengganu dan sudah memasuki kawasan timur semenanjung dan sebelum ini mereka aktif di Borneo.
Semakan dalam JOMCHECK mendapati bahawa isu ini pernah dinafikan beberapa kali melalui laporan media dan pernah dikategorikan ‘tidak benar’ oleh penyemak fakta antarabangsa.
STATUS: TIDAK BENAR
PENJELASAN: PDRM menafikan berlakunya kes ini sejak 2013 melalui media dan pernah mengeluarkan kenyataan penafian secara rasmi pada 2014 sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas.
SUMBER:
Facebook Rasmi Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) (2014)
Melalui rujukan daripada sumber-sumber di atas, dapat disimpulkan bahawa:
‘Peringatan khas’ ini merupakan dakwaan berulang sejak dari tahun 2013.
Bermula dari tahun 2020, ‘peringatan khas’ itu telah ‘dinaik taraf’ dengan menyertakan gambar-gambar penjenayah. Sebenarnya, individu dalam gambar itu adalah suspek pembunuhan warga Indonesia di Sarawak pada tahun 2019.
Tiada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian jenayah yang tular ini.
PDRM juga menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dari sumber yang tidak sah kerana perbuatan ini menyalahi undang-undang.
Jadi lepas ini kalau anda jumpa maklumat dari sumber tidak sah, JOMCHECK segera di WhatsApp +6017-4776659 atau guna pautan ini, okay!
Ikuti JOMCHECK Malaysia di media sosial:
Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak kesahihan sesuatu fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (WhatsApp teks sahaja) atau melalui pautan ini.