Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tak pernah arah guna duit yayasan bayar kad kredit - Saksi
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Bekas Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah mengarahnya membayar insurans kenderaan, cukai jalan serta kad kredit peribadi menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Datuk Rosiah Osman, 71, berkata sepanjang bertugas sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid dari 1994 hingga 2011, beliau membuat kesemua bayaran itu menggunakan cek Maybank peribadi Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mewakili Ahmad Zahid yang diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.

Menurut Rosiah, pembayaran bil kad kredit isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis juga menggunakan cek peribadi Ahmad Zahid.

Saksi pembelaan ketujuh itu berkata cek YAB pula digunakan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan antaranya memberi sumbangan kepada masjid.

Rosiah berkata beliau menguruskan cek YAB kerana yayasan itu tidak mempunyai kakitangan sokongan termasuk akauntan atau setiausaha.

Selain itu, Rosiah berkata Ahmad Zahid mempunyai pegangan saham di empat syarikat iaitu Kretam Holding Berhad dan anak syarikatnya, Tekala Corporation Berhad, Ramatex Berhad dan Seng Hup Berhad.

“Datuk Seri (Ahmad Zahid) masukkan hasil jualan saham syarikat Kretam Holding dan Tekala Corporation ke dalam akaun Yayasan Akalbudi, namun saya tidak pasti hasil jualan saham bagi dua lagi syarikat (Ramatex dan Seng Hup) ada masuk dalam akaun YAB atau tidak,” kata saksi itu.

Pada Selasa (1 Ogos), Rosiah memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menggunakan kad kredit peribadinya untuk mendahulukan pembelian peralatan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan YAB dan yayasan itu membayar balik kad kredit bagi pembelian tersebut.

Sementara itu, semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Rosiah berkata beliau tidak ingat berapa kali Ahmad Zahid menggunakan kad kreditnya untuk membeli barang kelengkapan untuk disumbangkan kepada masjid.

Menurut Rosiah tidak semua pembelian barang sumbangan untuk aktiviti kebajikan yayasan itu menggunakan kad kredit milik Ahmad Zahid.

Katanya kad kredit Ahmad Zahid digunakan untuk pembelian antaranya permaidani, kipas dan penyaman udara yang disumbangkan kepada masjid.

Ditanya Mohd Dusuki, mengapa saksi itu tidak menggunakan cek YAB untuk membeli barangan keperluan masjid, Rosiah menjawab “Takkan nak beli guna cek, jadi guna kad kredit Datuk Seri (Ahmad Zahid) dulu”.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Ogos ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS