Gerakan meminta rakan sekutunya PAS menjelaskan insiden membabitkan Presidennya, Dominic Lau yang dikatakan dipulau pada ceramah mega Perikatan Nasional (PN) di Sungai Dua, Pulau Pinang pada malam Selasa lalu.
Menurut akhbar Cina, Kwong Wah Yit Poh yang berpusat di Pulau Pinang, Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata kejadian itu amat dikesali.
“Walaupun Lau tidak dijemput, dia adalah timbalan presiden PN dan pengerusi PN Pulau Pinang.
“Penganjur bersikap biadab dan tidak menghormati pemimpin parti komponen dalam PN,” kata Oh yang juga timbalan presiden Gerakan di peringkat pusat.
Oh berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pasar basah di Pulau Pinang.
Sementara itu, Oh berkata Lau tidak meminta untuk berucap di atas pentas tetapi hanya mahu bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Justeru, katanya penganjur tidak sepatutnya bersikap terlalu sensitif.
Oh menambah, Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim mungkin menyimpan emosi terhadap Lau selepas pemimpin PN itu dinamakan sebagai calon PN bagi Bayan Lepas.
"Gerakan menggesa PAS menjalankan siasatan dan mengkaji semula perkara itu," katanya.
Malaysiakini semalam melaporkan Lau disambut oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad (gambar, atas) yang merupakan antara penceramah pada malam tersebut, ketika mereka sama-sama menantikan ketibaan Abdul Hadi.
Bagaimanapun, ketika Idris hendak mengiringi Lau ke atas pentas, Iszuree menuju ke arahnya dan dengan tegas berkata: "yang tidak diundang, sila tunggu sini."
Idris kemudian diiringi ke atas pentas manakala Lau sekadar melihat dengan senyuman.
Sebelum ini, Iszuree disebut-sebut sebagai calon di DUN Bayan Lepas - kerusi yang ditandingi Lau.
Lau kemudian menafikan dia dihalau dari ceramah itu dan mendakwa dia tidak berada di sana untuk menyampaikan ucapan, sebaliknya bertemu Abdul Hadi.