Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Pulai, Simpang Jeram 9 September
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 12:02 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 Sept.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 Sept.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan. 

Mesyuarat itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Pulai itu adalah yang dikemas kini sehingga 23 Julai 2023.

“DPPR bagi PRK Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara.

“DPPR bagi PRK DUN Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Beliau berkata DPPR bagi kedua-dua PRK itu akan mula dijual pada 21 Ogos ini.

Abdul Ghani berkata urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula hari ini.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 22 Ogos bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media);  12 Ogos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 15 Ogos bagi kategori 1C (agensi/organisasi). 

“Permohonan undi pos bagi semua Kategori 1A, Kategori 1B dan Kategori 1C dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Abdul Ghani berkata SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS