Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Juwairiya: Tak pernah ada niat ambil Hulu Kelang dari Amanah

Calon PH Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli menjelaskan kepada pengundi dan penyokong gabungan itu tentang bagaimana dia akhirnya diletakkan di kerusi yang dianggap milik Amanah.

Dia berkata tidak pernah berniat untuk mengambil alih kerusi daripada Naib Ketua Wanita Amanah Anfaal Saari.

Anfaal ialah anak perempuan kepada penyandang wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib, yang telah memegang kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut. Dia disebut-sebut sebagai pilihan parti untuk meneruskan legasi bapanya.

Menurut Juwairiya, Hulu Kelang sentiasa dianggap sebagai milik Amanah dan ia bukan sebahagian dari kerusi yang dirundingkan antara parti PH.

Katanya, kerusinya Bukit Melawati antara yang dirundingkan oleh pimpinan tertinggi PH sehingga saat-saat akhir sebelum mengumumkan senarai akhir calon pada minggu lepas.

"Saya duduk menunggu. Rupanya jam 2 pagi baru selesai, dan menteri besar (Amirudin Shari) call saya, kata bersedia untuk ke Hulu Kelang.

"Saya terkejut. Pertama keluar dari mulut saya, Puan Anfaal macam mana?

"Hulu Kelang tidak ada dalam meja rundingan kita. Sebab tu tiada siapa menyangka saya boleh diletakkan di Hulu Kelang ini.

“Penting untuk saya cerita kerana saya ingin jelaskan kerana tidak ada niat saya ambil alih kerusi jadi tradisi amanah di Hulu Kelang ini," katanya ketika berucap pada majlis ceramah di AU3 Keramat.

Juwairiya merupakan Adun penggal pertama, yang memenangi kerusi Bukit Melawati pada 2018.

Katanya, secara peribadi dia lebih suka mempertahankan kerusi di Kuala Selangor itu, tetapi menerima hakikat PH telah memutuskan untuk bertanding di Hulu Kelang.

Selepas PKR mengumumkan calonnya pada 22 Julai, Juwairiya berkata dia telah bertemu Saari untuk mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan ahli politik veteran itu mengenai keputusan parti.

Kedua-dua Juwairiya dan Saari berkongsi perasaan kecewa, sedih dan sedikit kemarahan, tetapi akhirnya menerima perkara itu dengan baik.

"Saya terus turun Hulu Kelang dan jumpa Saari. Kita duduk berbincang, walau agak kecewa, sedih, ada rasa marah.

"Saya juga begitu kerana saya terpaksa tinggalkan kawasan saya di Bukit Melawati, tinggalkan Kuala Selangor yang saya dah berkhidmat kepada masyarakatnya.

"Tapi kita meredai dan terus fokus untuk memenangkan PH di Hulu Kelang insha Allah. Saya bersyukur rakan-rakan Amanah di Hulu Kelang terbuka," katanya lagi.

Dalam ucapannya, Juwairiya turut melahirkan rasa terima kasih kepada jentera parti akar umbi daripada PH dan BN khususnya Amanah kerana menerima dirinya sebagai calon mereka.

Setiausaha politik kepada Amirudin itu juga menafikan dakwaan dia ialah orang luar menjelaskan dia dilahirkan dan dibesarkan di Keramat.

Juwairiya akan berdepan Azmin Ali daripada PN, yang juga bekas menteri besar Selangor. Azmin juga bekas timbalan presiden PKR, sebelum berpaling tadah untuk menyertai Bersatu pada 2020.

Walaupun kerusi Hulu Kelang diberikan kepada PKR, PH telah mencalonkan Anfaal untuk bertanding di kerusi Taman Templer. PKR juga telah menukar kerusi DUN Batu Tiga di Shah Alam dengan Amanah, sebagai ganti Hulu Kelang.

Saari mempertahankan kerusi itu pada 2013, sebelum keluar PAS untuk menyertai Amanah dan berjaya mengekalkan Hulu Kelang semula pada 2018.

Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Azmin (PN) dan Juwairiya (PH).

Untuk rekod, Azmin ialah bekas Adun Bukit Antarabangsa selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini, kedua-dua mereka berpindah ke kerusi Hulu Kelang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS