Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid hadir mesyuarat kabinet, perbicaraan kes rasuah ditangguh

Perbicaraan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung Yayasan Akalbudi ditangguhkan hari ini kerana dia perlu menghadiri mesyuarat mingguan kabinet.

Peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik hari ini mengesahkan bahawa mereka telah memohon supaya tarikh perbicaraan dikosongkan.

“Datuk Seri (Zahid) terpaksa menghadiri mesyuarat kabinet (hari ini), jadi mahkamah membenarkan (perbicaraan) hari ini ditangguhkan. Kita sambung (perbicaraan) esok,” kata peguam itu kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi tadi.

Bekas setiausaha eksekutif Zahid, Rosiah Osman, 71, dijangka menyambung semula keterangannya untuk pembelaan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok

Semalam, Bernama melaporkan saksi pembelaan ketujuh Rosiah memberi keterangan antara lain bahawa Zahid telah menggunakan kad kredit peribadinya terlebih dahulu untuk membeli barangan sumbangan untuk masjid sebagai sebahagian daripada aktiviti amal Yayasan Akalbudi.

Dia berkata pembelian itu kemudiannya dibayar balik daripada dana Yayasan Akalbudi. Kad kredit Zahid digunakan untuk membeli karpet, kipas dan penghawa dingin sebagai sumbangan kepada masjid kerana yayasan itu tidak mempunyai kad kredit.

Semasa perbicaraan peringkat pembelaan, Zahid, 70, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.

Hakim Mahkamah Rayuan Collin Lawrence Sequerah sedang mendengar kes itu atas kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Tinggi (dia dinaikkan pangkat awal tahun ini semasa dia masih mendengar kes terhadap Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur).

Pada 24 Jan tahun lepas, Sequerah memerintahkan Zahid yang juga presiden Umno membela diri dalam kes itu.

Bagi pertuduhan CBT, Zahid didakwa telah menggunakan yayasan itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Affin Bank Berhad di Jalan Bunus di luar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kesalahan CBT boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, serta sebat dan denda.

Berhubung dengan lapan pertuduhan rasuah itu, Zahid dikatakan telah menerima rasuah daripada tiga syarikat - Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Datasonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd - sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri, untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan masing-masing dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa warga asing di Pakistan dan Nepal.

Di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank di Dataran Maybank, di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Berhubung 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terlibat dalam transaksi langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semasa peringkat pendakwaan perbicaraan yang berlangsung dari akhir 2019 hingga 2021, 99 saksi dipanggil untuk memberi keterangan - termasuk bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar serta bekas setiausaha eksekutif tertuduh Mejar Mazlina Mazlan@Ramly.

Saksi terkenal lain untuk pendakwaan ialah B Muralidharan, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, dan pengurup wang Omar Ali Abdullah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS