Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seseorang yang mengambil keputusan untuk melangkah ke dunia politik bermakna dia secara tidak langsung telah pun berbaiah untuk berjuang, berkorban dan berkhidmat kepada rakyat.Perjuangan untuk rakyat tidak ada titik noktah, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah agenda dan khidmat kepada rakyat terus digerakkan.

Tidak dinafikan terdapat segelintir ahli politik yang menyerah kalah di pertengahan jalan dek kecewa akibat gagal dalam pilihan raya atau gagal berhadapan dengan cabaran dan mehnah politik.

Namun ada pula yang mengambil keputusan untuk berehat sejenak sebelum bangkit kembali dengan semangat baharu. 

Hanya mereka yang benar-benar mempunyai objektif dan hala tuju yang jelas sahaja mampu bertahan dalam dunia politik.

Saya merupakan antara sosok politik yang memutuskan untuk kekal aktif dalam politik tetapi berehat sejenak dari menjadi wakil rakyat.   

Saya ingin memberi ruang kepada wajah-wajah baharu yang lebih berpotensi dan berwawasan mengemudi kerja-kerja rakyat, namun hasrat itu harus ditangguh serta-merta memandangkan saya diarahkan untuk kembali dipertaruhkan dalam pilihan raya umum negeri (PRN) sebagai calon DUN N41 Batu Tiga, Shah Alam.

Pada awalnya saya cuba menolak permintaan parti dengan baik, namun disebabkan saya masih memegang jawatan ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), maka adalah menjadi kewajipan untuk saya dan sesiapa pun yang berada di peringkat tertinggi dalam parti untuk menjadi wakil rakyat.

Saya sedar bahawa pandangan masyarakat bercampur baur, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju, akan tetapi inilah strategi pembidak catur politik yang lebih tahu apa yang terbaik untuk parti dan rakyat. 

Oleh itu, saya akur dengan arahan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin serta ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Sedar dengan hakikat bahawa saya pernah tewas pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lepas di parlimen Sepang, maka saya kembali duduk bermuhasabah dan menyusun strategi untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi. 

Saya melihat bahawa kekalahan itu sebenarnya permulaan kepada kejayaan dan kekalahan itu juga telah mendewasakan saya, menjadikan saya lebih kuat dan kembali bersemangat untuk melakukan pembaharuan.

Mereka yang tidak bersetuju dengan pencalonan saya pada kali ini mendakwa calon lama tak boleh ‘dikitar semula’. 

Ya, mungkin dari satu sisi saya bersetuju dengan dakwaan ini tetapi kalau kita melihat secara fakta, sebenarnya calon-calon lama kembali bertanding adalah tradisi biasa yang turut dipraktikkan oleh parti-parti lain seperti BN yang kembali mencalonkan Mahdzir Khalid yang tewas di kerusi parlimen Padang Terap pada PRU lepas.

Begitu juga dengan Ahmad Said, mantan menteri besar Terengganu yang kalah dengan majoriti besar di parlimen Kemaman. 

Tidak terlepas dengan pemimpin terulung negara, Dr Mahathir Mohamad yang di awal kerjaya politiknya juga pernah tewas di tangan almarhum Yusof Rawa dari PAS pada PRU 1969 dengan majoriti tipis, 989 undi. 

Namun pada PRU berikutnya, Mahathir kembali bertanding dan menang.

Kemenangan setelah kekalahan itu telah menjadikan Mahathir seorang wakil rakyat yang cukup berkualiti sehingga mampu membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang cukup membangun, moden dan disegani seluruh dunia. 

Jadi, kalah sekali bukan bermakna kalah selamanya. Selagi mana mempunyai semangat untuk berjuang, maka sahutlah ia.

Calon-calon lama yang kembali bertanding dibuat di atas dasar pengalaman lama dalam pentadbiran dulu terutamanya yang pernah menjawat apa-apa jawatan di peringkat negeri atau nasional. 

Calon-calon ini sememangnya mempunyai pengalaman di lapangan selain tahu kehendak masyarakat.

Saya dan beberapa ahli politik lainnya seperti Azmin Ali diambil sebagai calon semula adalah disebabkan faktor pengalaman kami dalam menguruskan isu Covid-19 beberapa tahun.

Pada ketika itu, kami merupakan antara individu yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kesihatan rakyat terjaga, ekonomi kekal stabil dan keselamatan negara terjamin.

Kejayaan barisan pemimpin kerajaan PN bawah perdana menteri Muhyiddin Yassin itu sudah cukup untuk menyakinkan rakyat mengapa beberapa nama besar harus kembali berkhidmat.

Kita kena akur bahawa kesan pasca Covid-19 masih berlanjutan sehingga ke saat ini, rakyat masih bergelut dengan kos harga barangan yang terus meningkat dan peniaga-peniaga masih berhempas pulas untuk memulihkan perniagaan mereka. 

Yang kaya jatuh miskin, yang miskin jatuh ke paras papa kedana.

Lebih menyedihkan, kerajaan campuran yang diharapkan dapat mengembalikan kestabilan ekonomi negara sudah pun gagal melakukan hal sedemikian, sebaliknya ekonomi negara terus merudum, ringgit Malaysia jatuh ke paras yang berbahaya. 

Tuntutan kami seperti pengeluaran KWSP secara bersasar turut ditolak mentah-mentah oleh pihak kerajaan sedangkan ia hanya disarankan untuk tempoh pemulihan ekonomi sahaja. 

Namun ia tetap dipolitikkan.

Risau dan gelisah dengan apa yang berlaku, maka sebagai seorang yang berpengalaman dan faham dengan apa yang dihadapi oleh rakyat dalam dunia yang semakin mencabar selepas pandemik Covid-19. 

Maka kami diamanahkan untuk kembali masuk ke gelanggang politik.

Malah saya pasti faktor ini juga merupakan antara faktor sama mengapa nama-nama besar dari parti lain yang kalah dalam PRU15 lepas kembali bertanding pada PRN kali ini. 

Hanya rakyat sahajalah yang boleh menilai sama ada nama-nama besar yang kembali bertanding ini sebenarnya disebabkan ketagihan untuk berkuasa atau ikhlas untuk menggalas tanggungjawab kepada rakyat.


RINA HARUN ialah ketua Wanita Bersatu dan bekas menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS