Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOMENTAR | Entah Mamat mana yang tiba-tiba kirim mesej WhatsApp ke telefon saya: "Demo kelik ngundi bilo?"

Telefon yang satu lagi juga menerima mesej yang hampir sama.

"Abe, pakat kelik Klate, jangae lupo maso depe adik kakok," katanya.

Saya juga menerima soalan kaji selidik yang menanyakan tentang kawasan mengundi Dewan Undangan Negeri Kelantan, alamat semasa dan alamat di Kelantan.

Juga ditanya mengenai pengangkutan balik kampung sama ada perlukan pengangkutan awam atau kenderaan peribadi, bila tarikh balik kampung dan berapa hari di Kelantan.

Saya tidak pernah berdaftar dengan mana-mana pertubuhan anak Kelantan di perantauan serta tidak pernah terlibat dengan persatuan bercorak kenegerian.

Apabila menerima mesej yang mengalu-alukan usaha balik mengundi di kampung halaman, saya yakin keghairahan kempen pilihan raya sudah sampai pada suhu maksimum.

Kelantan memang menjadi titik tumpu persaingan kuasa sejak 1950-an.

Sejak beberapa bulan lalu demam pilihan raya di enam negeri menjadi topik hangat kerana telatah dan kegilaan ahli politik yang amat luar biasa. Ghairah berkempen membolehkan mereka lupa isu yang tidak sepatutnya dicanangkan termasuk perkataan cokia yang membabitkan pelantikan seseorang menteri besar yang mendapat restu istana.

Tiga jenis ‘raya’

Pilihan raya negeri (PRN) adalah proses demokrasi yang mungkin dianggap luar biasa kali ini kerana melibatkan enam negeri sahaja iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.  

Kecuali Pulau Pinang yang mungkin dianggap selamat, lima negeri lagi bakal menampilkan persaingan sengit.

Pada era digital sekarang, maklumat terlalu pantas dan mudah dicapai. Data peribadi seseorang yang sepatutnya rahsia tidak sukar diceroboh.

Nombor MyKad atau telefon bimbit seseorang mudah digunakan pihak lain pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Alamat kediaman juga mudah diperoleh seperti senangnya kita membeli kad prabayar terlefon bimbit. Tidak pelik bagaimana orang yang mengirim mesej  boleh mengesan nombor telefon dan mengetahui negeri kelahiran seseorang.

Saya sering katakan ada tiga 'raya' yang mendorong perantau bersesak-sesak balik kampung di Kelantan. Selain Aidilfitri dan Aidiladha, pilihan raya juga membawa mereka balik kampung beramai-ramai kononnya untuk menentukan masa depan yang sebenarnya tetap samar.

Sejak berpuluh tahun perantau Kelantan bersesak balik kampung mengundi namun sejak sekian lama itu jugalah isu bekalan air bersih dan jalan raya yang sempurna kekal menjadi igauan.

Jangan terperanjat apabila sehingga kini Kelantan tidak mempunyai sebuah lebuh raya. Apa yang disebut Lebuh Raya Pasir Mas - Tanah Merah itu hanyalah sebatang jalan yang lebar sedikit berbanding kawasan lain.

Highway (mengikut sebutan orang tempatan) itu terpaksa berkongsi antara kenderaan dan lembu yang melintas jalan!    

Perantau mungkin seronok menikmati keselesaan hidup di negeri lain tanpa memikirkan nasib keluarga mereka sendiri yang berdepan masalah bekalan air bersih dan kemudahan prasarana terbatas.

Belum pernah luput

Pada PRU ke-15 lalu,  sejumlah 80 peratus perantau Kelantan di seluruh negara dilaporkan pulang mengundi. Kajian Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan mendapati  150,000 rakyat Kelantan merantau sama aa bekerja atau belajar di luar negeri.

Pengundi  Kelantan pada PRU ke-14 berjumlah 1.1 juta orang dan meningkat kepada 1.4 juta pada PRU ke-15. Seramai  300,000 pengundi muda seawal usia 18 tahun turut terbabit.

Sehingga kini tiada kajian ilmiah yang meneliti punca sentimen orang Kelantan terhadap sesebuah parti politik. Sejak era Asri Muda mengetuai PAS, parti yang dikaitkan dengan perjuangan Islam itu sering menjadi pilihan di Kelantan sehinggalah mereka tewas pada 1978 ekoran pergolakan dalaman.

PAS kembali menguasai Kelantan pada 1990 dengan bantuan Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan parti Semangat 46 selepas disingkirkan dari Umno ekoran pertarungan merebut jawatan presiden yang disandang Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Razaleigh Hamzah

Puluhan tahun kemudian Mahathir dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang duduk sepentas beberapa kali dan ia adalah bukti bahawa politik menghalalkan cara tidak pernah luput. Persaingan kuasa tidak pernah lelap walaupun Kelantan terkenal antara negeri termiskin di Malaysia.

Soal masa depan, pembangunan prasarana dan jati diri sering dikalahkan oleh watak siasah. Ada ketikanya ramai yang menjadi tidak waras kerana politik seperti dicatatkan oleh S Othman Kelantan dalam novel Juara (1976).

Media melaporkan pembelian tiket bas secara dalam talian yang memberangsangkan menjelang  12 Ogos memberi isyarat gelombang anak perantau Kelantan bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di kampung sendiri.

Ada yang mendakwa tiket kapal terbang pula melambung tinggi menjelang tarikh berkenaan sehingga mencecah harga hampir RM1,000 seorang untuk perjalanan pergi dan balik.

Selamat mengundi saudara. Jika pilihanmu tepat, Cik Siti Wan Kembang berwajah ayu dengan nikmat pembangunan.

Andainya salah perhitungan, demo akan kekal bertakbir sambil menghitung takdir di sisi pusara Puteri Saadong!


IMLAN ADABI adalah wartawan dan sasterawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS