Satu lagi poster yang memaparkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan slogannya “Malaysia Madani” telah dirosakkan.
Kali ini poster yang rosak itu berada di salah satu jalan di Taman Keladi, di Bakar Arang, Kedah dengan "wajah" Anwar dipotong dari bunting merah.
Kerusi DUN Bakar Arang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008.
Pilihan raya di DUN kali ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang menampilkan calon Pakatan Harapan, Adam Loh Wee Chai, Raymond Tai Kuang Tee (PN) dan Tan Kee Chye (PRM).
Terdahulu, poster yang sama telah dirosakkan di Kampung Permatang Tok Din, di Lunas Kedah yang merupakan kawasan kubu kuat PAS.
Banting iklan yang memaparkan perkataan “Malaysia Madani” bersama wajah Anwar kelihatan robek meninggalkan lubang besar yang ternganga.
Poster yang rosak itu terletak di hadapan sebuah stesen minyak Petron di kampung itu.
Lunas menjadi medan pertarungan paling "sesak" di Kedah dengan lima calon menyertai pertandingan.
Calon PH Shamsul Anuar Abdullah akan menentang calon PN Khairil Anuar Ramli dan tiga lagi calon bebas.