Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahir tunggu surat jemputan debat dari Rafizi
Diterbitkan:  Jul 30, 2023 3:43 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Sulaiman menunggu surat jemputan daripada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk berdebat.

Secara berseloroh Syahir berkata, sebab itulah dia sering batuk sejak semalam kerana namanya disebut oleh pemimpin PKR itu.

"Patutlah batuk-batuk sejak semalam. Rupanya ada orang jauh sebut-sebut nama kita.

"Saya ada di Bachok ni. Kita tunggulah surat itu sampai," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Syahir dipercayai merujuk kepada surat jemputan debat.

Malam tadi, Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi melontarkan cabaran untuk berdebat dengan Syahir mengenai hal ehwal ekonomi.

Rafizi Ramli

Rafizi mengalihkan cabaran itu selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali dan menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan menolak untuk berdebat dengannya.

"Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam PN tampil ke hadapan dan kita sudah beri ruang sepenuhnya.

"Saya akan menulis secara rasmi kepada dia dan saya tunggu dia nak jawab apa," katanya ketika ditemui media selepas Jelajah Madani di Seremban, malam tadi.

Tambah Rafizi dia akan terus melontarkan cabaran kepada pemimpin PN untuk berdebat dan mahu menjadikannya sebagai budaya baru politik negara.

Dalam pada itu, Syahir turut menyertakan serangkap pantun empat kerat kepada ahli Parlimen Pandan itu;

"Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Janji yang baik dikenang juga."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS