mk-logo
Berita
Perjuangan PAS bukan untuk pusaka keluarga - bekas Adun Chempaka

Bekas Adun Chempaka Fathan Mahmood menegaskan perjuangan PAS bukan warisan keluarga atau keturunan sesiapa.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama namun Fathan dipercayai merujuk kepada kenyataan tular dikeluarkan Nik Din Nik Mat, adik kepada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Terbaru tadi viral belaka, khasnya untuk DUN Panchor, jadi jentera DUN Panchor bila orang ‘bakar’ lagu itu kena lagi bersemangat.

“Buktikan kita berjuang untuk parti, bukan untuk kepentingan peribadi, kepentingan keluarga tertentu. Parti kita adalah parti untuk semua pendukung Islam dan perjuangan.

Nik Din Nik Mat.

“Legasi dalam parti ini adalah legasi perjuangan, sesiapa nak duduk dalam perjuangan ini nak jadikan legasi adalah legasi perjuangan bukan legasi siapa keturunan,” katanya ketika berucap dalam majlis pengenalan calon-calon kerusi DUN di bawah parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, malam ini.

Dalam satu rakaman video yang tular hari ini, Nik Din berkata dia hairan apabila anak saudaranya, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz tidak dicalonkan di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka.

Sedangkan katanya, dia sendiri bertemu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

Nik Din mendakwa perkara itu berlaku berpunca daripada Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah yang juga calon dan penyandang DUN Panchor yang tidak mahu keluarga Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

Dia turut menyeru pengundi supaya tidak mengundi Mohd Amar pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

Terdahulu, PAS mencalonkan calon muka baru Nik Bahrum Nik Abdullah bagi menggantikan posisi yang disandang Fathan di DUN Chempaka.

Mohd Amar pula mempertahankan kerusi DUN Panchor manakala kerusi DUN Kijang turut diwakili penyandangnya Dr Izani Husin.

Sementara itu, Fathan berkata ahli PAS perlu mempersiapkan diri dalam keadaan terbaik dan mudah-mudahan diangkat parti untuk diletakkan di tempat yang sesuai.

“Bukannya kita meminta-minta letak diri kita seolah-olah (kita) turun dari langit untuk orang junjung kita dan letak atas tahta yang layak pada pandangan kita.

"Tetapi kita tiada apa-apa pun nilai pada umum,” jelasnya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS