Bersatu telah mengambil tindakan segera untuk memecat seorang ahlinya dan menggantung dua lagi selama tiga tahun, kerana mereka didapati mensabotaj kempen PN pada pilihan raya negeri.
Malaysiakini difahamkan tindakan terhadap tiga individu itu dikaitkan dengan laporan 'pemberontakan' dalaman terhadap calon PN Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata keputusan tersebut dicapai oleh majlis tertinggi Bersatu semasa mesyuaratnya yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur petang tadi.
"Bersatu menzahirkan komitmen tertinggi untuk memastikan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 di enam negeri, berserta Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu yang berlangsung serentak pada 12 Ogos 2023 nanti berada ditahap paling maksimum, bagi menjamin kemenangan Perikatan Nasional.
“Sehubungan itu, Bersatu menegaskan bahawa mana-mana ahli Bersatu yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin parti dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lain atau calon Bebas, keahliannya terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu," kata Hamzah pada satu kenyataan hari ini.
Pagi tadi, Muhammad Muhaimin menyeru anggota Bersatu untuk Bersatu dan meletakkan kepentingan parti di atas segalanya.
Kenyataan Hamzah hari ini tidak merujuk kepada ketiga-tiga individu tersebut atau alasan tindakan yang diambil terhadap mereka.
Dalam gabungan PN, PAS juga sebelum ini mengeluarkan amaran yang sama kepada semua ahlinya supaya akur dengan keputusan pucuk pimpinan mengenai calon, atau berisiko dikenakan tindakan.
BACA BERKAITAN:
Calon PN Batang Kali: Kepentingan parti atasi segala-galanya
Adik Nik Aziz seru jangan undi Mohd Amar
Protes di Batang Kali: Biasalah, ada suka, ada tak suka, kata Hamzah