Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa normalisasi rasuah: Syed Saddiq boleh cakap apa saja, kata Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakannya mengumumkan peruntukan di Terengganu semalam, sehari sebelum penamaan calon, walaupun dikritik sebagai "menormalisasikan rasuah".

Menjawab kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman Zahid berkata presiden Muda itu boleh berkata apa sahaja berkenaan perkara itu.

“Dia boleh cakap apa saja tapi yang penting para belia perlukan peruntukan yang cukup untuk menjalankan aktiviti, sama ada persatuan-persatuan belia di peringkat daerah ataupun juga negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan jentera tiga DUN di bawah parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

Zahid demikian ketika diminta mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa dia cuba menormalisasikan rasuah, susulan mengumumkan berjumlah peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri Terengganu, semalam.

Dia juga meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih “gelombang biru dan merah” dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

“Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan top up, akan tambah lagi, insya-Allah.

“Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya sejauh mana kerajaan persekutuan akan menunaikan peruntukan yang dijanjikan di negeri-negeri yang mungkin akan dimenangi pembangkang, timbalan perdana menteri itu menjawabnya dengan memetik sepotong hadis.

“Kita akan lakukan yang terbaik, tetapi kita mesti pegang kepada hadis sahih nabi: tidak namanya bersyukur pada Allah jika tidak berterima kasih kepada yang memberi.

“Yang memberi adalah kerajaan Madani...Jangan soal bahawa kita akan melakukan perkara-perkara yang negatif tetapi kita soal kepada diri kita sendiri adakah kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada yang memberi,” katanya, sambil menambah kerajaan persekutuan bukanlah zalim dan tidak menepati janji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS