Keahlian Mohamad Rafie Ab Malek dalam PKR tergugur secara automatik, susulan tindakannya mengemukakan pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ampangan di Seremban, hari, kata naib presiden parti itu, Aminuddin Harun.
Selain itu menteri besar sementara Negeri Sembilan itu berkata, ahli-ahli parti yang menyokong tindakan timbalan ketua cabang PKR Seremban itu akan juga dikenakan tindakan.
“Ikutkan itu hak dia untuk bertanding, tetapi dia akan digugurkan sebagai ahli parti, kita hanya dengar berita desas-desus dia nak bertanding itu semalam.
“Ahli lain yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Coral Heights di Seremban hari ini.
Rafie yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan, membuat kejutan pagi tadi apabila tampil sebagai calon Bebas.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Rafie, calon Pakatan Harapan (PH) Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Rafie bertanding mewakili PH menang dengan majoriti 1,360 undi di DUN berkenaan.
Sebelum ini, dia membidas kepimpinan PKR berhubung keputusan tidak mencalonkannya bagi mempertahankan kerusinya pada PRN 12 Ogos ini.
Menurut Rafie yang juga exco kerajaan negeri, umum mengetahui dia bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan itu dan membangunkan negeri secara amnya.
Dia kemudian menuduh "individu tertentu" berusaha untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga pengerusi PH Negeri Sembilan berkata tindakan Rafie tidak menjejaskan gerak kerja parti untuk mempertahankan kerusi DUN Ampangan bagi pilihan raya kali ini.
“Saya masih optimis dengan peluang di DUN Ampangan, masih ada kekuatan, saya yakin jentera yang ada akan membantu calon kita (Tengku Zamrah) bagi kemenangan di kerusi itu. Kita serah kepada rakyat untuk menentukan kerusi di DUN Ampangan, siapa yang layak untuk dipilih.
“Dia (Rafie) telah selesai penggal dia, saya mengucapkan terima kasih, dia berhak memilih apa jua parti selepas ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dan pengundian awal 8 Ogos ini.