Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiah Zulkifli mempertaruhkan rekod perkhidmatannya di Bukit Melawati untuk menumbangkan bekas bosnya Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dipindahkan ke Hulu Kelang dalam masa singkat kerana pertukaran dengan Amanah, Juwairiah yakin ada sebab kukuh untuk pucuk pimpinan mempertaruhkannya di kerusi berkenaan.

"Saya anggap ini cabaran baru untuk saya, pencapaian saya jadi kenyakinan parti untuk bawa saya di tempat yang lebih mencabar.

"Untuk membuktikan khidmat calon Harapan (PH) yang boleh bekerja. Saya tak gentar, walaupun orang kata lawan bekas bos sendiri," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, hari ini.

Juwairiah berkata, dia hanya mengetahui akan berpindah kerusi 24 jam sebelum pengumuman calon oleh PH.

Untuk rekod Juwairiah adalah penyandang kerusi DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Manakala lawannya Azmin yang mewakili PN merupakan bekas Adun Bukit Antarabangsa selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini, kedua-dua mereka berpindah ke kerusi Hulu Kelang.

Sementara itu, Azmin menyifatkan calon PH, Juwairiah Zulkifli yang lari dari kawasan untuk bertanding di Hulu Kelang, dan bukan dirinya.

Azmin berkata kerusi DUN Hulu Kelang, bukan asing baginya kerana pernah memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Oleh itu katanya, dia tidak gentar untuk berdepan cabaran Juwairiah bagi menenangi kerusi berkenaan.

"Mengapa dia dipindahkan dari Bukit Melawati ke Hulu Kelang, Saya tak lari, saya pernah menang di Hulu Kelang pada 1999.

"Hulu Kelang kampung saya, kampung keluarga saya. Kita yakin rakyat Hulu Kelang bersama kita berdasarkan khidmat yang kita beri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS