ULASAN | Dalam satu webinar anjuran ISEAS-Yusof Ishak Institute, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengulas mengenai calon DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Bagi Ong, ia merupakan tamparan hebat kepada DAP kerana menggugurkan wakil rakyat Melayu di kerusi selamat buat parti itu.
Kritikan itu hadir selepas DAP menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua yang dimenangi parti itu pada 2018 Umno-BN. Malah, senarai DAP bagi PRN Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga ketandusan calon Melayu.
Dari sudut yang berbeza, Gerakan dalam PN pula mempertaruh dua calon Melayu di kerusi yang mempunyai lebih ramai pengundi bukan Melayu iaitu di Bandar Utama dan Bukit Lanjan.
Dunia sudah terbalik. Gerakan yang selalu kalah berani meletakkan calon Melayu di kerusi campuran di Selangor, dan DAP hanya menampilkan calon tunggal Melayu di Bandar Utama.
Lebih menghairankan apabila DAP menuntut jawatan Speaker DUN Selangor untuk diberikan kepada Adun Banting, Lau Weng San, sebagai imbalan memberikan Dusun Tua kepada Umno-BN.
Tuntutan itu tidak harus berlaku kerana jawatan Speaker DUN Selangor sudah disandang DAP sejak 2008.
Malah, DAP secara terang-terang melakukan “scheme of things” dengan menawarkan jawatan dalam kerajaan tanpa segan dan silu kepada beberapa bekas Adun.
Dilema perjuangan kian parah
Apakah ini kesan daripada nikmat menjadi kerajaan? Adakah DAP meminggirkan polisi Impian Malaysia mereka dan kembali menjadi gedung untuk satu sesuatu sahaja?
Ada benarnya DAP menghadapi cabaran untuk meletakkan calon kerana rundingan kerusi yang lebih kompleks di bawah kerajaan perpaduan. Namun, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk DAP melupakan hasrat mengangkat pemimpin pelbagai etnik dalam pilihan raya.
Kekurangan calon Melayu dalam PRN kali ini jelas bertentangan dengan pendirian DAP dalam PRU ke-15 apabila mereka sanggup menampilkan calon Melayu demi membuktikan parti itu terbuka serta komited mengangkat pemimpin berbilang etnik.
Dalam PRN kali ini DAP terlepas peluang untuk membuktikan parti itu boleh meletakkan calon Melayu yang berwibawa di kerusi campuran mahupun majoriti Melayu. Sedangkan mereka mempunyai kelebihan di ketiga-tiga negeri asas yang diterajui PH.
Sebenarnya, PRU ke-15 telah membuktikan calon Melayu DAP mampu menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mereka tidak hilang deposit di kerusi parlimen yang mempunyai lebih 70 peratus pengundi Melayu.
Misalnya Gerik, Jerai, Pontian, dan Mersing. Ia berlaku sebegitu ketika arus 'Gelombang Hijau' mengamuk di kerusi-kerusi tersebut.
Calon Melayu DAP turut memenangi kerusi campuran parlimen Bangi dan Bentong pada tahun lalu. Justeru sekali lagi ditanyakan: apakah DAP tidak yakin dengan data dan fakta itu?
Nampaknya dilema DAP dalam mengangkat perjuangan etnik kian parah. Pemimpinya masih ketagih dengan pendekatan 'jalan pintas' untuk memenangi hati pengundi Melayu dengan bergantung kepada rakan-rakan dalam PH serta Umno.
Keputusan PRU ke-15 menonjolkan kelunakan DAP dengan Umno-BN dalam usaha membentuk kerajaan pusat. Meskipun tidak tahu sejauh mana hasilnya, komitmen DAP itu begitu janggal buat akar umbi Umno-BN.
Terima kemaraan parti lawan
Ia menyebabkan ada ahli dan penyokong di peringkat akar umbi tidak sanggup memberi undi mereka kepada PH dalam PRN nanti.
Sikap terbuka DAP menerima bekas pemimpin Melayu dari Umno dan Bersatu sebelum ini agak kronik. Faktanya, hampir semua pemimpin Melayu terbabit telah meninggalkan DAP dan kini kuat memburukkan parti berkenaan di khalayak ramai.
Pada masa sama terdapat segelintir anak muda menyertai DAP kerana tahu ia adalah jalan mudah menjadi calon pilihan raya dan mendapat jawatan politik, khususnya selepas PRU ke-14.
DAP seharusnya berhati-hati dengan keputusan untuk menjauhi Impian Malaysia dengan meminggirkan calon Melayu. Perubahan demografi kawasan bandar yang kini hampir 70 peratus dibanjiri orang Melayu boleh memberi saingan sengit kepada DAP.
Trend terkini menunjukkan ramai pengundi Melayu bandar menerima kemaraan PN sebagai wakil rakyat dan kerajaan.
DAP akan berada dalam keadaan lebih sukar jika berlaku persempadanan semula pilihan raya yang boleh dilaksanakan selewat-lewatnya 2026.
Sekiranya kawasan majoriti bukan Melayu diubah kepada kerusi campuran, yakni populasi pengundi seimbang antara kaum, bolehkan parti itu keluar dari amalan biasa dengan meletakkan calon Melayu di kawasan terbabit?
Buat masa ini, DAP boleh menang selesa dalam PRN kerana undi bukan Melayu masih lagi kekal bersama mereka. Namun, DAP harus sedar usaha untuk meyakinkan pengundi Melayu itu tidak ada noktah dan perlu dilipatgandakan pada masa akan datang.
Mungkin DAP perlu perjelaskan kerangka untuk meletakkan calon acuan Malaysia yang diimpikan. Jelaskan pemimpin dan ahli Melayu apa yang dimahukan untuk memastikan DAP benar-benar menjadi parti acuan Malaysia.
Jika sekadar pandai menjaga kawasan dan membuat program bantuan dengan orang Melayu, sudah ada beribu orang Umno dan PAS melakukan perkara yang sama.
Sekiranya ingin Melayu bercakap mengenai dasar ekonomi dan mengangkat masyarakat majmuk pula, Umno dan PKR sudah ada.
Kalau mahukan ahli parti aktif di TikTok, Melayu PAS dan Muda jauh lebih pakar daripada apa yang DAP ada.
Justeru Melayu apa yang ingin diangkat DAP?
Hanya jadi pak turut
Memang benar, DAP yang ada dalam kerajaan kini lebih berdisiplin berbanding semasa kerajaan PH selepas PRU ke-14 pada 2018.
Tetapi, kedangkalan DAP yang terus berubah untuk tidak meletakkan calon Melayu, mendiamkan diri dalam reformasi institusi, serta melupakan hasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan hanya menimbulkan banyak persoalan berbanding kelegaan.
Saya percaya, pengundi bukan Melayu hari ini terbuka menerima calon Melayu di kawasan campuran asalkan calon berkenaan berwibawa serta amanah.
Oleh itu, DAP boleh bertindak dengan lebih baik untuk terbuka mengambil pendekatan baru, bukannya berjiwa kecil dalam soal meletakkan calon Melayu.
Apa yang digusarkan, DAP hanya berhasrat menggantikan MCA untuk berada dalam kerajaan. Lebih membimbangkan jika pendirian DAP itu membawa mereka ke arah parti berbilang kaum bernama Gerakan yang tidak mempunyai hala tuju serta menjadi pak turut dalam PN.
Kerajaan perpaduan hanyalah untuk penggal ini sahaja. Jadi apa hala tuju DAP menjelang PRU ke-16?
FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.