Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO lancar projek pantau ucapan kebencian sepanjang PRN
Diterbitkan:  Jul 28, 2023 10:22 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan rakan kerjasamanya melancarkan projek pemantauan atas talian bagi mengenal pasti dan menangani ucapan kebencian, menjelang PRN yang akan diadakan.

Projek "Katakan Tidak pada Ucapan Benci" dijalankan dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Sains Malaysia, serta disokong Malaysiakini sebagai rakan media rasmi.

Pemantauan melibatkan platform media sosial seperti Facebook, X (sebelum ini dikenali seabgai Twitter) dan TikTok, serta akan turut mengenal pasti tingkah laku tidak tulen, atau coordinated inauthentic behaviours (CIB), seperti bot dan tentera siber.

CIJ berkata orang ramai diminta untuk bertanggungjawab dalam menegakkan kebebasan bersuara ketika pilihan raya dan melawan ucapan kebencian dengan melaporkannya kepada platform media sosial menerusi portal laporan projek itu.

CIJ meletakkan tahap keparahan ucapan kebencian sekitar isu sensitif seperti 3R (kaum, agama, institusi diraja) dan gender, dan golongan seperti warga asing, pelarian dan LGBT, kepada empat tahap:

  • Tahap 1 - Perbezaan pendapat atau bahasa dan kandungan yang tidak menyinggung

  • Tahap 2 - Bahasa dan kandungan yang menyinggung atau bersifat diskriminasi

  • Tahap 3 - Bahasa atau kandungan yang menyahmanusiakan atau agresif

  • Tahap 4 - Bahasa atau kandungan yang melibatkan seruan atau ajakan kepada keganasan

Projek itu bermula pada 24 Julai dan berjalan sehingga 20 Ogos. Ia akan memantau ahli politik, parti politik, media, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bagi "mengenal pasti corak dan perkembangan tentang bagaimana naratif kebencian memberi kesan atau meningkatkan risiko bahaya kepada individu atau komuniti yang terdedah dengan risiko".

Dapatan daripada pemantauan itu akan dicatat dlam papan pemuka dalam talian CIJ.

Selepas membuat pemantauan pada PRU15, CIJ menjangkakan ucapan kebencian dan penyebaran maklumat palsu akan berterusan terutama di ruangan media sosial.

"Taktik seperti ini sering digunakan oleh ahli-ahli politik dan beberapa pemimpin masyarakat lain bagi mengawal naratif dan mempengaruhi pemahaman orang awam tentang isu-isu utama yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.

"Penggunaan tema dan retorik yang mengapi-apikan demi kepentingan politik yang sempit boleh mengalih dan mengganggu perhatian daripada perbincangan berasaskan penumpuan solusi yang memupuk prinsip demokrasi," kata CIJ dalam kenyataan.

CIJ berkata mereka turut bekerjsama dengan Architects of Diversity, Beyond Borders, Justice for Sisters, KRYSS Network, North South Initiative, Sisters in Islam, Pusat Komas dan Persatuan Sahabat Wanita untuk mewujudkan "sistem amaran" berdasarkan data pemantauan mereka.

"Sistem itu akan membolehkan respons pantas apabila sesuatu ucapan atau kandungan benci mencapai tahap keparahan tertinggi dan memerlukan respons atau tindakan segera

"Respons ini termasuk melaporkannya kepada platform media sosial dan menyediakan sumber untuk media dan orang awam bagi melawan ucapan benci," kata CIJ lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS