Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan calon BN batal kemenangan PH di Segamat ditangguhkan
Diterbitkan:  Jul 28, 2023 11:21 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan untuk mendengar rayuan calon BN M Ramasamy untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat.

Ini kerana peguam utama, Ramasamy, Muhammad Shafee Abdullah, dilaporkan tidak sihat dan sedang dalam cuti sakit (MC) hari ini.

Muhammad Shafee Abdullah

Susulan itu, mahkamah tertinggi negara menangguhkan kepada 1 Ogos untuk mendengar rayuan Ramasamy yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 3 April lepas yang menolak petisyen pilihan rayanya dan mengekalkan kemenangan R Yuneswaran dari Pakatan Harapan di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh hakim Zabariah Mohd Yusof  membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam bersama Ramasamy, Sarah Malini Abishegam.

Dia memaklumkan kepada panel - juga terdiri daripada hakim mahkamah Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim - bahawa Shafee sudah tidak sihat sejak dia pulang dari luar negara awal minggu ini.

M Ramasamy

Katanya, selepas menghadiri perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.28 bilion oleh bekas perdana menteri Najib Razak dua hari lalu serta semalam, kesihatan Shafee semakin teruk malam tadi.

Tambahnya, keadaan Shafee masih tidak berubah pagi ini, justeru peguam bela itu terpaksa mengambil MC. Dia juga memohon maaf bagi pihak Shafee atas keperluan untuk penangguhan tersebut.

Apabila Zabariah bertanya kepada peguam Lau Yi Leong dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan - yang masing-masing mewakili Yuneswaran serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - kedua-dua berkata mereka tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan pendengaran rayuan hari ini kepada 1 Ogos minggu depan.

Pada 26 April, Ramasamy, merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Muar menolak petisyen pilihan rayanya.

Ramasamy yang juga Bendahari MIC bertanding sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Segamat pada PRU15.

Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lepas dan diisytiharkan sebagai ahli parlimen bagi kawasan itu, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey dari Pejuang.

M Ramasamy

Dalam petisyennya, Ramasamy memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai ahli parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid berkata terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Beliau berkata petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar serta material dan menambah bahawa petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas dan tepat.

Mohd Radzi telah menerima bantahan awal oleh responden yang dibangkitkan dalam usaha mereka untuk menolak petisyen Ramasamy.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS